PARIS: Terdapat keganasan berlaku di Perancis pada Ahad malam tetapi rusuhan yang menggegarkan negara itu selama beberapa hari semakin reda, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Hanya 49 orang ditahan menjelang tengah malam, menurut Kementerian Dalam Negeri - jauh lebih rendah berbanding tempoh masa yang sama, malam sebelumnya.

Kebakaran berlaku di beberapa bandar utama termasuk di Lyon, polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata terhadap aktivis sayap kanan yang berarak di jalanan.

Namun pada malam keenam kekacauan - dicetuskan oleh tindakan polis menembak mati seorang budak lelaki berusia 17 tahun di pinggir bandar Paris pada Selasa - disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai agak tenang.

Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin yang bergantung pada kehadiran besar-besaran polis untuk malam ketiga berturut-turut mengerahkan 45,000 pegawai dan kenderaan berperisai di seluruh negara.

Darmanin mengarahkan pegawai bertindak tegas dan menangkap perusuh secepat mungkin, lapor media Perancis.

Sementara itu, nenek kepada mangsa yang mati ditembak semasa ditemu bual media pada Ahad menggesa agar rusuhan yang menyaksikan kereta dan bangunan awam dibakar selain pertempuran dengan pegawai polis dihentikan.

-- BERNAMA