DUNIA

Rusuhan Indonesia: Elaun ditarik, lawatan kerja luar negara ahli DPR digantung - Prabowo

Syafik Shukri Jalil 31/08/2025 | 10:50 MYT
Prabowo memaklumkan bahawa beliau telah menerima laporan daripada ketua-ketua parti politik mengenai tindakan disiplin terhadap ahli DPR yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menyinggung perasaan rakyat - Foto/ Reuters
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengesahkan bahawa pimpinan Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) akan menarik semula beberapa dasar termasuk elaun anggota dan menggantung lawatan kerja ke luar negara susulan tekanan rakyat terhadap isu pembaziran dana awam.


Ringkasan AI
  • Pimpinan DPR RI akan tarik semula beberapa dasar termasuk elaun dan hentikan lawatan kerja luar negara.
  • Ahli DPR yang keluarkan kenyataan mengelirukan akan digantung tugas mulai 1 September 2025.
  • Semua pemimpin parti diminta pastikan wakil mereka sentiasa berpihak kepada kepentingan rakyat dan elak kenyataan yang mencetuskan kemarahan awam.


Dalam sidang media di Istana Negara pada Ahad, Prabowo memaklumkan bahawa beliau telah menerima laporan daripada ketua-ketua parti politik mengenai tindakan disiplin terhadap ahli DPR yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan menyinggung perasaan rakyat.

“Saya menerima laporan daripada para ketua umum parti politik bahawa mereka telah mengambil langkah tegas terhadap anggota DPR masing-masing berkuat kuasa Isnin, 1 September 2025,” katanya.

Menurut Prabowo, tindakan tersebut termasuk penggantungan keanggotaan ahli DPR yang terlibat, selain komitmen pimpinan DPR untuk menarik semula beberapa dasar yang tidak selari dengan kepentingan rakyat, termasuk elaun dan lawatan kerja ke luar negara.

Presiden turut menegaskan bahawa semua pemimpin parti telah menyampaikan amanat kepada anggotanya agar sentiasa peka dan berpihak kepada kepentingan rakyat.

Pada hari yang sama, Parti Nasional Demokratik (NasDem) mengumumkan penggantungan tugas terhadap dua ahli DPR, Ahmad Sahroni dan Nafa Urbach, berkuat kuasa 1 September 2025.

Setiausaha Agung Dewan Pimpinan Pusat (DPP) NasDem, Hermawi F. Taslim, menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat susulan kenyataan kedua-dua wakil rakyat tersebut yang didakwa menyinggung perasaan rakyat dan menyimpang daripada prinsip perjuangan parti.

Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan dan parti politik untuk meredakan ketegangan susulan protes besar-besaran yang melanda Indonesia, termasuk isu kenaikan elaun ahli politik dan insiden melibatkan kematian seorang penghantar makanan yang dilanggar kenderaan polis.




#rusuhan Indonesia #Protes Indonesia #Prabowo Subianto #Dewan Perwakilan Rakyat #Indonesia bergelap