DUNIA

Rusuhan Indonesia: Gabenor Maluku Utara turun padang redakan ketegangan

Naz Raseed 02/09/2025 | 00:50 MYT
Sherly Tjoanda Laos menyampaikan sesi dialog bersama penunjuk perasaan di Kota Ternake, Maluku Utara. - Foto Maluku Terkini
TERNATE: Ketegangan memuncak di Kota Ternate, Maluku Utara, apabila ratusan mahasiswa dan penduduk tempatan berhimpun dalam protes besar-besaran menuntut reformasi institusi dan keadilan sosial.


Ringkasan AI
  • Protes besar-besaran di Ternate cetus ketegangan, dengan tuntutan reformasi institusi dan keadilan sosial.
  • Gabenor Maluku Utara, Sherly Tjoanda Laos, turun padang bertemu penunjuk perasaan dan menyeru ketenangan.
  • Rusuhan merebak ke beberapa bandar, enam terkorban, tentera dikerahkan kawal keadaan.


Demonstrasi yang bermula aman kini merebak ke beberapa wilayah, mencetuskan kebimbangan keselamatan dan kestabilan ekonomi.

Bagi meredakan keadaan, Gabenor Maluku Utara, Sherly Tjoanda Laos, tampil berani turun padang bertemu penunjuk perasaan, menjadikannya pemimpin pertama yang bersemuka secara langsung dengan kumpulan demonstrasi.

Beliau disertai oleh Wakil Gabenor Sarbin Sehe, yang turut mengadakan sesi dialog terbuka sebelum pihak polis memberi amaran kemungkinan penggunaan gas pemedih mata.

Dalam sesi tersebut, Sherly menyeru agar penunjuk perasaan bertenang dan tidak bertindak di luar kawalan, sambil menegaskan bahawa ketegangan berterusan boleh memburukkan keadaan dan menjejaskan ekonomi wilayah.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar tidak melupakan aspirasi asal mereka - untuk meningkatkan taraf ekonomi dan menyokong peniaga kecil di Maluku Utara.

Difahamkan, demonstrasi ini berpunca daripada tuntutan pembaharuan institusi polis, penolakan terhadap kenaikan elaun anggota DPR RI, desakan pindaan Perlembagaan 1945, serta pembebasan masyarakat adat yang ditahan.

Protes pertama bermula di Jakarta pada 25 Ogos lalu, namun bertukar ganas selepas seorang penunggang motosikal penghantar makanan maut akibat dilanggar kenderaan taktikal polis.

Setakat ini, sekurang-kurangnya enam individu dilaporkan terkorban, termasuk seorang pelajar universiti di Yogyakarta dan dua mangsa kebakaran bangunan di Makassar.

Susulan perkembangan ini, pasukan tentera telah dikerahkan ke beberapa bandar utama termasuk Jakarta, Bandung, Surabaya, Medan dan Palembang bagi mengawal gelombang protes yang semakin merebak.







#Penunjuk perasaan #Indonesia #DPRD #Sherly Tjoanda #Affan Kurniawan