DUNIA

Rusuhan Indonesia: Jabatan Alam Sekitar Jakarta bersihkan lokasi terjejas, 1,325 petugas dikerah

Astro Awani 01/09/2025 | 00:45 MYT
Pekerja majlis perbandaran membersihkan runtuhan di pintu tol yang terbakar susulan demonstrasi besar-besaran membantah kerajaan. - Foto REUTERS
JAKARTA: Jabatan Alam Sekitar Jakarta (DLH) mulakan operasi pembersihan di semua lokasi yang terjejas akibat demonstrasi di ibu kota pada Ahad.


Ringkasan AI
  • DLH Jakarta mulakan operasi pembersihan di lokasi demonstrasi, dengan 1,325 petugas digerakkan melebihi jumlah asal yang dirancang.
  • Lima wilayah utama Jakarta terlibat, termasuk kawasan tumpuan seperti Sudirman, Slipi, Jembatan Tiga dan Jalan Raya Bogor.
  • Operasi lanjutan dijadualkan waktu malam, melibatkan penggunaan kren untuk pembersihan berat di Halte TransJakarta Senen dan Polda Metro Jaya.


Ketuanya, Asep Kuswanto berkata, operasi pembersihan telah dilaksanakan secara menyeluruh, namun petugas bersiap sedia sekiranya terdapat operasi pembersihan susulan.

“Seluruh lokasi sudah kita bersihkan secara keseluruhan. Meski demikian, petugas kami masih siap sedia sekiranya ada sampah susulan,” katanya seperti dipetik oleh agensi berita Antara pada Isnin.

Dalam operasi tersebut, DLH telah mengerahkan seramai 1,325 petugas, melebihi jumlah yang dirancang iaitu 1,150 orang yang mana mereka turut dibantu oleh 51 unit penyapu jalan, 70 trak sampah dan 49 kenderaan pengangkut sampah.

Pembersihan dilakukan di lima wilayah pentadbiran Jakarta, dengan fokus utama di sekitar jalan yang menjadi pusat demonstrasi.

Sementara itu, di Jakarta Utara, sebanyak 275 petugas ditugaskan di kawasan Jembatan Tiga, Jalan Yos Sudarso dan Pegangsaan Dua.

Di Jakarta Barat, 200 petugas menjalankan tugas di kawasan Slipi, manakala di Jakarta Selatan, 250 petugas membersihkan kawasan Sudirman, Semanggi dan Kuningan.

Bagi Jakarta Timur, seramai 300 petugas difokuskan di Jalan Proklamasi, Jalan Raya Bogor dan Mampang Prapatan.

DLH turut merancang operasi lanjutan menggunakan kren untuk pembersihan berat di Halte TransJakarta Senen dan kawasan Polda Metro Jaya, yang akan dilaksanakan pada waktu malam.





#rusuhan #Jakarta #Indonesia #Jabatan Alam Sekitar Jakarta DLH