DUNIA

Rusuhan Indonesia: Jurang ekonomi, krisis kepercayaan punca utama protes rakyat - CSIS

Astro Awani 02/09/2025 | 10:19 MYT
Jurang pendapatan yang ketara, inflasi, dan gaya hidup mewah pemimpin menjadi punca kemarahan rakyat. -Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Gelombang demonstrasi yang melanda Indonesia sejak akhir Ogos adalah berpunca daripada tekanan ekonomi yang semakin meruncing serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang kian terhakis.


Ringkasan AI
  • CSIS menyatakan demonstrasi di Indonesia berpunca daripada tekanan ekonomi dan krisis kepercayaan terhadap kerajaan.
  • Jurang pendapatan yang ketara, inflasi, dan gaya hidup mewah pemimpin menjadi punca kemarahan rakyat.
  • CSIS gesa kerajaan pulihkan kepercayaan melalui ketelusan belanjawan, pengurangan pembaziran dan penambahbaikan dasar sosial.


Peneliti kanan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Deni Friawan, dalam satu forum awam pada Selasa, menjelaskan bahawa protes yang bermula di Kabupaten Pati akibat isu cukai tanah dan bangunan telah merebak ke Jakarta, Makassar dan beberapa bandar lain, disertai insiden kekecohan, kerosakan harta awam dan kematian seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan.

“Ini bukan sekadar luahan emosi spontan. Ia adalah kesan berterusan daripada rasa kecewa rakyat terhadap dasar fiskal yang dianggap tidak adil dan beban sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut CSIS, walaupun pertumbuhan ekonomi Indonesia kekal sekitar lima peratus, agihan pendapatan masih tidak seimbang.

Indeks Gini berada pada paras 0.39, menunjukkan jurang pendapatan yang ketara antara golongan kaya dan miskin.

Ramai rakyat berada hanya sedikit di atas garis kemiskinan dan mudah terjejas oleh inflasi serta ketidakstabilan pekerjaan.

Harga beras yang mencecah Rp18,000 (RM4.64) sekilogram turut membebankan isi rumah, bertentangan dengan kenyataan rasmi bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi.

Deni turut menyatakan bahawa walaupun kadar pengangguran terbuka rendah, pemutusan hubungan kerja semakin meningkat dan sebahagian besar pekerjaan berada dalam sektor tidak formal dengan pendapatan yang tidak menentu.

Krisis kepercayaan terhadap kerajaan semakin mendalam apabila rakyat diminta berjimat dan membayar cukai, sedangkan pemimpin dilihat menikmati kemudahan mewah, kenaikan elaun, serta memegang jawatan berganda dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Cukai sepatutnya menjadi kontrak sosial antara rakyat dan negara. Tetapi apabila keadilan fiskal tidak dirasai, kontrak itu menjadi rapuh,” tegas beliau.

CSIS menggesa kerajaan agar segera memulihkan kepercayaan rakyat melalui ketelusan belanjawan, pengurangan pembaziran, serta penambahbaikan perkhidmatan awam dan dasar sosial.








#CSIS #rusuhan Indonesia #tekanan ekonomi #krisis kepercayaan terhadap kerajaan