DUNIA

Rusuhan Indonesia: Kerugian akibat demonstrasi ganas di Jakarta cecah RM17.2 juta - Pramono

Astro Awani 01/09/2025 | 05:00 MYT
Jumlah kerugian akibat rusuhan di Jakarta mencecah Rp55 bilion, melibatkan kerosakan MRT, Transjakarta, CCTV dan infrastruktur bandar. -Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Jumlah kerugian akibat kerosakan infrastruktur susulan demonstrasi yang bertukar ganas sepanjang minggu lalu di ibu negara Indonesia mencecah Rp55 bilion (RM17.2 juta).


Ringkasan AI
  • Demonstrasi ganas di Jakarta menyebabkan kerugian infrastruktur sebanyak Rp55 bilion, melibatkan MRT, Transjakarta, CCTV dan kemudahan bandar.
  • Kerajaan DKI Jakarta menyediakan subsidi pengangkutan Rp18 bilion untuk operasi percuma MRT dan Transjakarta hingga 8 September.
  • Sebanyak 22 hentian Transjakarta rosak, termasuk enam dibakar dan dijarah, dengan kerja pemulihan dijangka siap selewat-lewatnya 9 September.


Gabenor Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta, Pramono Anung berkata kerosakan melibatkan pelbagai kemudahan awam termasuk sistem pengangkutan dan peralatan keselamatan bandar.

“Kerosakan infrastruktur MRT Jakarta dianggarkan sekitar Rp3.3 bilion (RM1.03 juta), manakala kerosakan terhadap kemudahan Transjakarta mencecah Rp41.6 bilion (RM13 juta).

"Selain itu, kerosakan CCTV dan infrastruktur lain dianggarkan sebanyak Rp5.5 bilion,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Forum Komunikasi Pimpinan Daerah (Forkopimda) di Balai Kota Jakarta, pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan tempatan telah mengambil langkah segera dengan menawarkan subsidi pengangkutan bernilai Rp18 bilion (RM5.6 juta) bagi menampung kos operasi MRT dan Transjakarta yang kini ditawarkan secara percuma hingga 8 September.

Setakat ini, sebanyak 22 hentian Transjakarta dilaporkan rosak, termasuk enam yang dibakar dan dijarah, manakala 16 lagi mengalami kerosakan akibat vandalisme.

Antara lokasi yang terjejas termasuk Hentian Polda Metro Jaya, Senayan Bank DKI, dan Bundaran Senayan.

Pihak berkuasa sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan dan dijangka menyelesaikan proses pembaikan selewat-lewatnya 8 atau 9 September.









#rusuhan Indonesia #Jakarta #kerosakan MRT Transjakarta #Pramono Anung