DUNIA

Rusuhan Indonesia: Parti NasDem gesa siasatan bebas dakwaan cubaan gugat keselamatan negara

Astro Awani 02/09/2025 | 12:03 MYT
Sebuah kenderaan hangus terbakar di Ibu Pejabat Polis Jakarta Timur susulan demonstrasi di Jakarta, 30 Ogos 2025. -Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Parti NasDem menggesa kerajaan Indonesia agar segera menubuhkan pasukan siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan wujudnya cubaan menggugat keselamatan negara di sebalik demonstrasi besar-besaran yang bertukar tegang sejak 28 Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • Parti NasDem gesa kerajaan Indonesia tubuh pasukan siasatan bebas untuk menyiasat dakwaan ancaman keselamatan di sebalik demonstrasi sejak 28 Ogos.
  • Ketua Fraksi NasDem, Viktor Laiskodat, tekankan keperluan siasatan telus melibatkan institusi bebas dan wakil masyarakat bagi elak spekulasi serta jamin keadilan.
  • NasDem sokong langkah Presiden Prabowo siasat rusuhan dan tegaskan komitmen terhadap keutuhan negara serta prinsip demokrasi.


Ketua Fraksi NasDem di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Viktor Bungtilu Laiskodat berkata siasatan telus dan menyeluruh perlu dijalankan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta mengelak spekulasi yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Situasi semasa memerlukan tindakan segera dan siasatan bebas yang melibatkan badan penguat kuasa, institusi bebas serta wakil masyarakat agar hasilnya mendapat kepercayaan awam,” katanya dalam kenyataan media di Jakarta.

Beliau menegaskan bahawa hak untuk berhimpun dan bersuara secara aman adalah sebahagian daripada prinsip demokrasi, namun tidak boleh disalah guna oleh mana-mana pihak untuk mencetuskan kekacauan atau agenda tersembunyi yang boleh mengancam keselamatan negara.

NasDem turut menyatakan sokongan terhadap langkah Presiden Prabowo Subianto yang berikrar untuk menyiasat insiden rusuhan, termasuk serangan terhadap kemudahan awam dan penjarahan premis peribadi serta pusat ekonomi.

Demonstrasi yang bermula secara aman oleh kumpulan mahasiswa dan pekerja di hadapan bangunan DPR/MPR RI bertukar menjadi tegang pada petang 28 Ogos, menyebabkan kematian seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan, dan mencetuskan protes susulan di beberapa bandar utama.

Setakat ini, tujuh individu dilaporkan maut dan lebih 1,200 ditahan.

Parti NasDem menegaskan komitmen untuk mempertahankan keutuhan negara dan mendesak agar siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan berlandaskan undang-undang.







#rusuhan Indonesia #Parti NasDem #tubuh pasukan siasatan bebas #ancaman keselamatan #Viktor Laiskodat