DUNIA

Rusuhan Indonesia: Polis siasat insiden rompakan ke atas kediaman dua anggota DPR

Astro Awani 02/09/2025 | 01:40 MYT
Sebuah tab mandi dilihat sedang dibawa keluar dari kediaman Ahmad Sahroni semasa insiden rompakan yang berlaku di Jakarta. - Foto X/@ardy98ramadhan
JAKARTA: Polis Indonesia di bawah bidang kuasa Polda Metro Jaya sedang menjalankan siasatan berhubung insiden penjarahan atau rompakan di kediaman dua anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).


Ringkasan AI
  • Polis Indonesia sedang menyiasat insiden rompakan di kediaman dua anggota DPR, Ahmad Sahroni dan Eko Patrio, ketika demonstrasi hujung minggu lalu.
  • Orang ramai dilaporkan merosakkan dan mencuri barangan rumah walaupun terdapat kawalan oleh anggota TNI.
  • Pihak berkuasa meneliti rakaman CCTV dan mempertingkat kawalan keselamatan di tengah ketegangan politik yang semakin memuncak.


Rompakan ke atas kediaman Ahmad Sahroni dan Eko Hendro Purnomo atau lebih dikenali sebagai Eko Patrio, berlaku ketika gelombang demonstrasi hujung minggu lalu.

Menurut laporan Jawa Pos, rumah Ahmad Sahroni di Tanjung Priok, Jakarta Utara, telah digempur oleh kumpulan massa yang merosakkan beberapa barangan dan membawa lari harta benda.

Ketua Siasatan Jenayah Polres Metro Jakarta Utara, Kompol Onkoseno Grandiarso Sukahar, mengesahkan siasatan sedang dijalankan namun setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

Sementara itu, kediaman Eko Patrio di kawasan Kuningan, Jakarta Selatan, turut menjadi sasaran rompakan pada Sabtu malam, sekitar jam 10.05 malam waktu tempatan.

Walaupun terdapat kawalan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), orang ramai tetap berjaya memasuki rumah dan mengambil pelbagai barangan termasuk pakaian, kerusi, meja dan perabot rumah tangga lain.

Ketua Polis Resor Metro Jakarta Selatan, Kombes Nicolas Ary Lilipaly, menyatakan pihaknya telah membuka laporan polis model A dan sedang meneliti rakaman CCTV untuk mengenal pasti individu yang terlibat.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujud dalang di sebalik insiden tersebut.

Insiden rompakan ini berlaku di tengah ketegangan politik dan sosial yang semakin memuncak di ibu kota, dengan beberapa kediaman tokoh awam lain turut dilaporkan menjadi sasaran.

Pihak berkuasa kini mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan terjejas dan menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam tindakan anarkis.






#rusuhan Indonesia #rompakan #Ahmad Sahroni #Eko Hendro Purnomo