DUNIA

Rusuhan Indonesia: Prabowo lawat keluarga Affan, janji tegakkan keadilan

Syafik Shukri Jalil 30/08/2025 | 05:20 MYT
Pada Jumaat, Prabowo memberi jaminan anggota polis yang terlibat dalam kematian Allahyarham Affan akan dihukum sewajarnya. - Foto/ IG Presiden Republik Indonesia
PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto mengunjungi rumah keluarga Allahyarham Affan Kurniawan di Blora, Menteng, Jakarta Pusat, pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Prabowo bersama rombongan mengunjungi rumah keluarga Allahyarham Affan Kurniawan sebagai tanda penghormatan atas pengorbanan dan keikhlasan beliau dalam menyara keluarga.
  • Beliau menegaskan komitmen kerajaan menjamin kelangsungan hidup keluarga Allahyarham melalui sokongan khusus serta memastikan kes ini diselesaikan secara adil sebagai lambang penegakan keadilan.
  • Presiden memberi jaminan bahawa anggota polis terlibat dalam kematian Allahyarham akan dihukum sewajarnya jika terbukti berlaku pelanggaran prosedur dan undang-undang.


Menerusi entri di Instagram Presiden Republik Indonesia, Prabowo bersama rombongan tiba di rumah keluarga Allahyarham sekitar jam 9.40 malam waktu Indonesia Barat.

Beliau diiringi Setiausaha Kabinet, Leftenan Kolonel Teddy Indra Wijaya, Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto serta beberapa menteri lain.

Dalam entri tersebut menyatakan bahawa kunjungan ini merupakan satu penghormatan terhadap kerja keras dan keikhlasan Allahyarham dalam menyara keluarganya.

‘’Semoga Allahyarham ditempatkan di sisi Allah SWT pada kedudukan terbaik, dan semoga keluarga yang ditinggalkan sentiasa dikurniakan kekuatan, kesabaran serta ketabahan.

‘’Kerajaan komited untuk menjamin kelangsungan hidup keluarga Allahyarham melalui perhatian khusus dan sokongan terhadap keperluan yang diperlukan.

‘’Kerajaan juga akan memastikan urusan kes ini ditangani sehingga selesai sebagai lambang penegakan keadilan buat Allahyarham Affan Kurniawan,’’ katanya.

Pada Jumaat, Prabowo memberi jaminan anggota polis yang terlibat dalam kematian Allahyarham Affan akan dihukum sewajarnya.

BACA: Protes besar-besaran gegar Indonesia: Apa puncanya?

BACA: 'Cukup anak saya jadi korban' - Bapa Affan Kurniawan seru semua pihak menahan diri

BACA: 7 anggota Brimob gilis pengemudi ojek dikenakan tahanan khas, siasatan jenayah diteruskan

Memetik CNN Indonesia, Prabowo mahu tindakan tegas diambil sekiranya terbukti wujud pelanggaran prosedur dan undang-undang dalam insiden tersebut.

Pemuda berusia 21 tahun itu meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan taktikal milik pasukan khas Pertubuhan Polis Negara Indonesia, pada Khamis malam, dalam satu demonstrasi besar-besaran yang tercetus di Jakarta.


#Protes Indonesia #protes Jakarta #Prabowo Subianto #Affan Kurniawan