DUNIA
Rusuhan Indonesia: Prabowo tegas, tidak akan berganjak berdepan 'mafia' dan dalang

Prabowo berkata, beliau menerima amanah daripada rakyat dan telah bersumpah untuk menjalankan tugas berdasarkan lunas undang-undang - Gambar fail/YouTube Sekretariat Presiden
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan komitmennya untuk tidak berundur walau setapak dalam usaha membanteras tindakan 'mafia' (pertubuhan haram) dan pihak yang didakwa mencetuskan kekacauan serta merosakkan kestabilan negara.
Ringkasan AI
- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berikrar tidak berundur dalam membanteras kumpulan mafia dan pihak yang mencetuskan kekacauan, menegaskan semua dalang rusuhan akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.
- Beliau kesal insiden kekacauan yang didakwa dirancang pihak luar, termasuk pembakaran bangunan DPR di Sulawesi Selatan yang mengorbankan empat nyawa.
- Prabowo umum kenaikan pangkat luar biasa kepada anggota keselamatan yang mempertahankan negara, sambil menegaskan hak rakyat untuk berdemonstrasi secara aman tetap dihormati.
"Jadi ini keprihatinan saya. Kita tidak ada masalah dan akan tegas. Saya dipilih oleh rakyat dan mempunyai mandat daripada rakyat. Saya bersumpah menjalankan undang-undang dasar, dan saya akan jalankan.
"Semua pihak berkuasa negara akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab. Sebagai Ketua Kerajaan, saya percaya kita sudah mempunyai beberapa petunjuk, dan kita tidak akan teragak-agak untuk bertindak.
"Saya tidak gentar untuk membela rakyat. Saya akan berdepan dengan mana-mana kumpulan 'mafia' yang kuat sekalipun. Demi memerangi rasuah, demi Allah, saya tidak akan berundur walau setapak pun. Saya yakin rakyat bersama saya," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Kompas TV pada Isnin.
Beliau menambah semua tindakan berkaitan rusuhan dan kerusuhan akan disiasat secara menyeluruh, dan pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.
Prabowo turut melahirkan rasa kesal terhadap insiden kekacauan yang dilihat seolah-olah dirancang oleh pihak luar yang datang ke sesuatu kawasan untuk mencetuskan kebencian, membakar bangunan, dan mencederakan rakyat tidak bersalah.
"Di Sulawesi Selatan, empat orang tidak bersalah menjadi mangsa, dan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dibakar. Kita akan siasat siapa dalangnya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Prabowo turut mengumumkan bahawa semua anggota keselamatan yang bertugas mempertahankan negara akan dinaikkan pangkat luar biasa sebagai penghargaan atas keberanian mereka.
Prabowo juga menegaskan bahawa kerajaan menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pendapat melalui demonstrasi, selagi ia dilakukan secara aman dan mengikut peraturan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami