DUNIA
Rusuhan Indonesia: Risiko protes masih ada jika 5 ahli Dewan digantung tak diganti - Penganalisis

Protes bermula minggu lalu selepas pendedahan elaun kediaman ahli Parlimen hampir 10 kali ganda gaji minimum Jakarta. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bersama beberapa parti politik menggantung lima orang ahli Dewan yang didakwa mencetuskan kontroversi dilihat sebagai langkah awal dalam memenuhi tuntutan rakyat Indonesia.
Ringkasan AI
- DPR Indonesia menggantung lima ahli Dewan termasuk Ahmad Sahroni, Nafa Urbach, Eko Patrio, Uya Kuya dan Adies Kadir susulan kontroversi, sebagai respons awal terhadap tekanan rakyat.
- Penganalisis politik menegaskan tindakan ini belum cukup meredakan kemarahan rakyat kerana ahli yang digantung masih berstatus wakil rakyat dan menerima elaun tanpa proses pemberhentian rasmi (PAW).
- Protes bermula akibat pendedahan elaun kediaman ahli Parlimen yang tinggi dan memuncak selepas insiden trak polis merempuh penghantar makanan hingga maut, mendorong desakan pembaharuan lebih menyeluruh.
Antara lima nama yang telah digantung termasuk Ahmad Sahroni; Nafa Urbach; Eko Patrio; Uya Kuya; serta Adies Kadir.
"Tetapi jika lima anggota Dewan yang dinonaktifkan ini tidak diberhentikan secara rasmi dan tidak digantikan melalui mekanisme yang sah, maka secara teknikal mereka masih berstatus sebagai anggota Dewan dan tetap berhak menerima elaun serta kemudahan sebagai wakil rakyat.
"Inilah yang menjadi persoalan utama dalam kalangan masyarakat – mereka mahu melihat sama ada tindakan non-aktif (gantung) itu akan disusuli dengan pemberhentian rasmi atau tidak.
"Sekiranya kelima-lima anggota Dewan ini hanya dinonaktifkan tanpa digantikan, ia berpotensi mencetuskan semula protes dan demonstrasi rakyat yang mahukan agar mereka segera diberhentikan secara mutlak," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.
Adi menambah tanpa proses Pemberhentian Antar Waktu (PAW), ahli Dewan yang digantung masih dianggap sebagai wakil rakyat dan kekal menerima elaun serta faedah.
Mengulas lanjut, beliau berkata golongan mahasiswa yang terlibat dalam protes dan demonstrasi juga berjaya mendorong tindakan awal daripada parti politik dan anggota DPR.
Ia termasuk perbincangan lanjut mengenai Rang Undang-Undang Rampasan Aset, serta persetujuan untuk menyekat tunjangan (elaun) tertentu kepada anggota DPR.
"Kalau perkara itu tidak diwujudkan, tidak mustahil mahasiswa akan kembali turun ke jalan untuk melakukan protes sebagai tanda kecewa - dan itu adalah hak mereka.
"Namun secara keseluruhan, parti politik, kerajaan dan DPR sebenarnya sudah mula mendengar suara rakyat dan berusaha merealisasikan beberapa perkara yang dituntut melalui tindakan-tindakan awal oleh DPR dan parti-parti politik," katanya.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sebarang bentuk protes mesti dilakukan secara aman dan berhemah.
Protes bermula minggu lalu selepas pendedahan elaun kediaman ahli Parlimen hampir 10 kali ganda gaji minimum Jakarta.
Situasi bertukar ganas selepas rakaman tular menunjukkan trak polis merempuh penghantar makanan, Affan Kurniawan, 21 tahun hingga maut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami