DUNIA

Rusuhan Indonesia: Tiga pelajar maut ketika demonstrasi, keluarga tuntut siasatan telus

Astro Awani 02/09/2025 | 05:42 MYT
Tiga pelajar termasuk seorang pelajar sekolah menengah dan dua mahasiswa dilapor meninggal dunia selepas menyertai demonstrasi di antara 25 Ogos dan 1 September. -Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Tiga pelajar, seorang murid sekolah menengah dan dua mahasiswa, dilaporkan maut selepas disyaki menyertai siri demonstrasi yang berakhir dengan insiden kekerasan di beberapa lokasi sekitar ibu negara Indonesia di antara 25 Ogos dan 1 September 2025.


Ringkasan AI
  • Tiga pelajar termasuk seorang pelajar sekolah menengah dan dua mahasiswa dilaporkan maut selepas menyertai demonstrasi antara 25 Ogos dan 1 September di Indonesia.
  • Mangsa mengalami kecederaan serius atau rebah semasa demonstrasi, dengan punca kematian termasuk hentakan objek tumpul dan henti jantung.
  • Insiden mencetuskan kebimbangan awam dan gesaan agar siasatan telus dijalankan terhadap tahap keselamatan dan penggunaan kekerasan semasa demonstrasi.


Mangsa dikenali sebagai Andika Lutfi Falah, pelajar SMK Negeri 14 Kabupaten Tangerang; Iko Juliant Junior, pelajar institusi swasta di Jakarta; dan Rheza Sendy Pratama, mahasiswa Universitas Amikom Yogyakarta.

Menurut laporan TribunNews, Andika Lutfi, 17, dilaporkan hilang selepas menyertai demonstrasi di kawasan Gedung DPR RI pada 28 Ogos.

Dia ditemui dalam keadaan kritikal dua hari kemudian di RSAL Mintoharjo, Jakarta, dengan kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat hentakan objek tumpul.

Andika meninggal dunia pada 1 September selepas dua hari koma.

Ibunya, yang pada awalnya dimaklumkan Andika ingin pulang awal untuk menemaninya berubat, berkata anaknya tidak membawa telefon bimbit atau kad pengenalan ketika keluar dari rumah.

Keluarga memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang dan menyifatkan kejadian itu sebagai takdir.

Sementara itu, Rheza Sendy Pratama, 21, dilaporkan rebah ketika menyertai demonstrasi di hadapan Kepolisian Daerah Istimewa Yogyakarta (Polda DIY) pada 31 Ogos.

Menurut kenyataan jurucakap Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Sardjito, Rheza dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia selepas usaha resusitasi selama 30 minit gagal.

Punca kematian dikenal pasti sebagai henti jantung (cardiac arrest).

Pihak keluarga Rheza enggan menjalankan pemeriksaan lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Daerah Istimewa Yogyakarta (DPRD DIY), Nuryadi, menggesa agar siasatan dijalankan secara telus dan terbuka.

Maklumat mengenai kematian Iko Juliant Junior masih belum diperincikan sepenuhnya, namun dia turut disenaraikan sebagai salah seorang daripada sembilan individu yang terkorban dalam demonstrasi tersebut.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan pemimpin tempatan, yang menuntut agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca kematian dan tahap keselamatan semasa demonstrasi.









#rusuhan Indonesia #Tiga pelajar maut #Andika Lutfi Falah #Iko Juliant Junior #Rheza Sendy Pratama