DUNIA

Rusuhan Indonesia: Tiga terbunuh dalam kebakaran di Makassar

Astro Awani 30/08/2025 | 22:00 MYT
Penunjuk perasaan berkumpul berhampiran bangunan parlimen wilayah yang sedang terbakar, semasa demonstrasi susulan kematian seorang pemandu teksi motosikal yang dilanggar dan digilis kenderaan taktikal polis. - Foto REUTERS
MAKASSAR: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam kebakaran yang tercetus semasa protes ganas di bandar Makassar, Indonesia, susulan kematian seorang pemandu teksi motosikal yang dilanggar kenderaan polis taktikal minggu ini.


Ringkasan AI
  • Kebakaran tercetus semasa rusuhan di Makassar susulan kematian pemandu teksi motosikal, menyebabkan tiga mangsa maut dan lima cedera selepas bangunan dewan perwakilan dibakar.
  • Rakaman video insiden melibatkan Affan Kurniawan mencetuskan kemarahan rakyat, dengan demonstrasi besar-besaran berlaku di Jakarta dan bandar lain, termasuk serangan ke ibu pejabat Brimob.
  • Presiden Prabowo arahkan siasatan terhadap polis; tujuh anggota ditahan dan lebih 600 penunjuk perasaan ditangkap. Keadaan di beberapa bandar kekal tegang dengan gangguan perkhidmatan awam.


Insiden bermula apabila penunjuk perasaan membakar bangunan dewan perwakilan tempatan di Sulawesi Selatan, menyebabkan dua kakitangan majlis dan seorang penjawat awam terperangkap dalam api marak.

Dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.


Tiga maut dalam kebakaran bangunan di Makassar


Protes tercetus di seluruh negara, termasuk Jakarta, selepas rakaman video menunjukkan Affan Kurniawan, seorang pemandu gig, dilanggar dan digilis oleh kenderaan polis semasa demonstrasi menuntut gaji lebih adil dan menentang keistimewaan mewah wakil rakyat.

Di ibu negara, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob, yang dipersalahkan atas kematian Kurniawan.

Mereka melemparkan mercun dan cuba merempuh pagar bangunan, memaksa polis bertindak balas dengan gas pemedih mata.

Protes menular ke serata Indonesia

Presiden Prabowo Subianto menyifatkan insiden itu sebagai “mengejutkan dan mengecewakan”, serta mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap tindakan polis.

Beliau turut melawat keluarga mangsa dan berjanji akan memastikan keadilan ditegakkan.

Setakat ini, tujuh anggota polis telah ditahan untuk siasatan, manakala lebih 600 penunjuk perasaan dilaporkan ditahan di seluruh negara.

Protes ini menjadi ujian terbesar kepada pentadbiran Prabowo sejak beliau memegang jawatan sepuluh bulan lalu.

Keadaan di beberapa bandar utama masih tegang, dengan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu dan beberapa bangunan kerajaan rosak teruk akibat rusuhan.

Pihak berkuasa menyeru orang ramai agar bertenang dan mengelakkan keganasan demi kestabilan negara.







#rusuhan Indonesia #kebakaran #Affan Kurniawan #Dewan Perwakilan