Skip to main content

Dunia

Rusuhan Paris: Mahkamah mula jatuhkan hukuman terhadap pesalah

Protes di Perancis bermula pada pertengahan September apabila pelajar sekolah menengah di pinggir bandar Paris turun ke jalan raya bagi menuntut penambahbaikan kemudahan di sekolah mereka. -Gambar fail/Reuters
Protes di Perancis bermula pada pertengahan September apabila pelajar sekolah menengah di pinggir bandar Paris turun ke jalan raya bagi menuntut penambahbaikan kemudahan di sekolah mereka. -Gambar fail/Reuters

Advertisement

PARIS: Mahkamah Perancis mula menjatuhkan hukuman terhadap individu yang ditahan susulan demonstrasi besar-besaran di Paris pada 17 Okt lalu bertukar menjadi rusuhan, menurut laporan BFMTV pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut penyiar itu, beberapa individu yang ditahan susulan keganasan ketika demonstrasi berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah menerusi prosedur perbicaraan yang dipercepatkan.

Seorang cef berusia 21 tahun yang juga bekas anggota bomba merupakan antara individu yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, dengan dua bulan daripadanya perlu dijalani dalam penjara.

Lelaki itu ditahan sebelum demonstrasi bermula selepas ditemukan membawa lapan botol minuman beralkohol di dalam begnya.

Penyiasat turut menemukan rakaman video dalam telefon bimbitnya yang menunjukkan dia membaling bom petrol pada hari sebelumnya, menurut BFMTV.

Seorang pengawal keselamatan berusia 23 tahun pula dijatuhi hukuman penjara setahun dengan pelaksanaan hukuman ditangguhkan, selain dilarang memiliki senjata dan menyertai demonstrasi bagi tempoh setahun.

Dia ditahan kerana menggunakan bahan piroteknik terhadap seorang anggota polis di Champs-Élysées.

Menurut BFMTV, kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Protes di Perancis bermula pada pertengahan September apabila pelajar sekolah menengah di pinggir bandar Paris turun ke jalan raya bagi menuntut penambahbaikan kemudahan di sekolah mereka.

Demonstrasi itu kemudiannya disertai orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barang sebelum merebak ke wilayah lain.

Demonstrasi terbesar berlangsung di seluruh negara pada 17 Okt lalu, namun bertukar menjadi rusuhan dan kegiatan vandalisme.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi berkenaan.

Ketika kekacauan berlaku, kumpulan perompak menyerbu premis perniagaan, memecahkan bahagian hadapan kedai dan mencuri barangan termasuk dari butik mewah, khususnya di Paris dan Marseille.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 

Must Watch Video

Advertisement