DUNIA
Rusuhan penjara di Ecuador ragut 14 nyawa, 14 lagi cedera

Rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak polis menunjukkan anggota keselamatan bersenjata berat memasuki penjara di tengah bunyi letupan dan jeritan tahanan. - Foto X/OJOseco
MACHALA: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 14 lagi cedera dalam rusuhan penjara yang berlaku di bandar pelabuhan Machala, selatan Ecuador, pada Isnin.
Ringkasan AI
- Pertempuran antara geng Los Choneros dan Los Lobos cetus kekacauan berdarah, dengan 14 maut dan 14 cedera, termasuk pegawai keselamatan.
- Tahanan melepaskan tembakan dan melontar bom; sebahagian melarikan diri sebelum 13 ditangkap semula oleh pasukan bersenjata.
- Rusuhan terbaru tingkatkan kebimbangan terhadap kawalan penjara dan keselamatan negara, menambah tekanan terhadap pentadbiran Presiden Daniel Noboa.
Seorang pegawai keselamatan dilaporkan terbunuh, manakala beberapa anggota polis turut diculik sebelum pihak berkuasa berjaya mengawal semula keadaan selepas kira-kira 40 minit.
Geng Dadah dan Kawalan Penjara
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai anggota geng Los Choneros dan Los Lobos - dua kumpulan jenayah terancang terbesar di Ecuador yang mempunyai kaitan dengan kartel dadah Mexico dan Colombia.
Kedua-dua kumpulan itu baru-baru ini telah diisytiharkan sebagai “organisasi pengganas asing” oleh Amerika Syarikat.
Rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak polis menunjukkan anggota keselamatan bersenjata berat memasuki penjara di tengah bunyi letupan dan jeritan tahanan.
Sebahagian tahanan dilaporkan melarikan diri, namun 13 telah berjaya ditangkap semula.
Krisis Penjara dan Tindakan Kerajaan
Presiden Ecuador, Daniel Noboa, sebelum ini telah mengisytiharkan “konflik bersenjata dalaman” dan menyerahkan kawalan penjara kepada tentera.
Namun, lapan penjara termasuk Machala telah dikembalikan kepada kawalan polis bulan lalu.
Rusuhan terbaru ini mencetuskan semula kebimbangan terhadap keberkesanan langkah keselamatan kerajaan.
Sejak Februari 2021, lebih 500 tahanan telah terbunuh dalam pelbagai insiden rusuhan penjara di Ecuador, termasuk pembunuhan kejam dan pembakaran mayat.
Negara yang terletak di antara Colombia dan Peru - dua pengeluar kokain terbesar dunia - kini menjadi laluan utama perdagangan dadah, menjadikan penjara sebagai medan perebutan kuasa antara geng bersenjata.
Rusuhan di Machala menambah tekanan terhadap pentadbiran Noboa untuk memperkukuh kawalan penjara dan menangani keganasan geng yang semakin meruncing di seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami