PARIS: Peruncit di seluruh Perancis mula menghitung kerugian susulan rusuhan hujung minggu lalu yang menyaksikan premis perniagaan dirosakkan dan butik-butik mewah menjadi sasaran penjarahan.
Pada Sabtu, enam individu bertopeng dilaporkan menggunakan penghadang jalan sebagai alat untuk memecahkan tingkap butik Louis Vuitton di Place Vendome, Paris, sambil tindakan mereka disorak puluhan individu berpakaian hitam.
Kumpulan itu bagaimanapun gagal memasuki butik berkenaan.
“Kami mempunyai tingkap keselamatan khas yang mampu bertahan, tetapi sebahagian besarnya kami bernasib baik,” kata seorang pekerja jenama mewah berkenaan.
“Ini menyedihkan. Mereka bukan penunjuk perasaan, sebaliknya individu yang datang semata-mata untuk merosakkan dan mencuri.”
Namun, beberapa peruncit lain tidak bernasib baik sepanjang hujung minggu rusuhan dan penjarahan di seluruh Perancis, yang tercetus selepas protes berhubung kekurangan pembiayaan sekolah dan peningkatan kos sara hidup.
Di Paris, premis perniagaan di kawasan utama seperti Champs-Elysees lazimnya memasang penghadang sebagai langkah berjaga-jaga menjelang demonstrasi atau sambutan acara sukan yang berpotensi bertukar ganas.
Pihak berkuasa juga kebiasaannya meminta tapak pembinaan supaya memastikan bahan binaan disimpan dengan selamat.
Bagaimanapun, persediaan bagi demonstrasi terbaharu itu dilihat tidak berjalan seperti biasa kerana protes berkenaan tidak mengikut corak koordinasi lazim antara kesatuan sekerja dan polis.
Pasukan penguat kuasa kemudian dilaporkan gagal mengawal keadaan apabila rusuhan memuncak pada Sabtu.
“Kami dapat melihat polis berundur di sepanjang jalan akibat diasak kumpulan perusuh,” kata seorang pekerja Dior.
Butik Dior di Rue Royale terselamat selepas pekerja menurunkan bidai keselamatan kira-kira pukul 4 petang.
Namun di seberang jalan, tingkap sebuah kedai Ralph Lauren dipecahkan manakala butik Kenzo dijarah.
“Saya tidak faham bagaimana polis boleh begitu tidak bersedia. Anak-anak saya mempunyai media sosial dan mereka seolah-olah sudah tahu keadaan akan menjadi sangat buruk hujung minggu ini,” katanya.
Keadaan di bandar-bandar Perancis kembali lebih tenang pada malam Isnin selepas pelaksanaan perintah berkurung membantu mengurangkan kekacauan.
Rakaman yang tular di media sosial sepanjang hujung minggu menunjukkan sekurang-kurangnya 12 anggota keselamatan persendirian membentuk kawalan di sekeliling butik utama Dior di Avenue Montaigne.
Seorang daripada pengawal keselamatan terbabit, Zaur Djabrailov berkata, kebanyakan mereka secara sukarela kekal bertugas sehingga lewat malam pada Sabtu atas dasar solidariti, walaupun penunjuk perasaan memberi amaran supaya mereka pulang demi keselamatan.
Butik Burberry turut menjadi sasaran di Paris, manakala premis Louis Vuitton dan Hermes di Marseille dijarah.
Sebuah cawangan kedai barang kemas Graff di Place Vendome pula ditutup pada Isnin selepas tingkapnya dipecahkan.
Sebuah butik Dior di Rue Saint-Honoré masih beroperasi, namun bahagian hadapan premis itu diconteng dengan slogan antipolis dan grafiti.
Pihak berkuasa kini berusaha menghalang barangan yang dicuri daripada dijual semula menerusi platform dalam talian.
Menteri-menteri Perancis pada Isnin mengadakan pertemuan dengan beberapa platform jualan semula dan syarikat teknologi termasuk Vinted, Amazon, eBay, Meta serta TikTok bagi membincangkan usaha menurunkan iklan mencurigakan dan mengenal pasti penjualnya.
Sesetengah barangan mewah turut dilengkapi nombor siri unik atau cip yang boleh membantu memadankan barangan dicuri dengan rekod inventori.
“Sejak hujung minggu lalu, pasukan kami bertindak segera untuk mengenal pasti dan membuang iklan yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan barangan curi, selain meningkatkan pemantauan terhadap penyenaraian mencurigakan,” menurut Vinted.
“Kami bekerjasama secara aktif dengan pihak penguat kuasa dan pihak berkuasa Perancis.”
Ribuan premis terjejas
Rusuhan itu bukan sahaja menyasarkan jenama mewah.
Cawangan peruncit pakaian sukan JD Sports turut digeledah, selain kira-kira 20 premis kecantikan Sephora di seluruh negara dan sebuah Apple Store di Lille.
Di tengah Paris, sebuah bilik pameran Tesla diconteng dengan slogan yang menyasarkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk.
Sebuah cawangan bank Societe Generale berhampiran turut ditutup dengan pintunya disimbah cat merah jambu, selain slogan yang mengecam parti berhaluan kanan Rassemblement National (RN) diconteng pada bahagian premis.
Persatuan yang mewakili perniagaan di Champs-Elysees, Saint-Honore, Vendome dan beberapa kawasan mewah lain di Paris mengecam keras serangan terhadap premis perniagaan dan menyifatkannya sebagai “sama sekali tidak boleh dibenarkan”.
“Kebebasan untuk berdemonstrasi adalah hak asasi, satu kebanggaan Republik kita dan tradisi demokrasi kita.
“Paris tidak boleh tunduk kepada perusuh. Kami enggan membiarkan ketakutan menguasai jalan-jalan kami. Mereka yang tinggal dan bekerja di sini tidak akan menerimanya,” kata persatuan terbabit dalam kenyataan bersama pada Isnin.
Kesan kerosakan turut dirasai peniaga kecil dan bukan terhad kepada syarikat multinasional.
Anggaran awal menunjukkan sekurang-kurangnya 3,000 premis perniagaan terjejas akibat rusuhan di seluruh Perancis, menurut Menteri Perdagangan, Serge Papin.
Kerajaan Perancis turut menjanjikan bantuan kewangan dan sokongan pekerjaan kecemasan kepada perniagaan yang terjejas.
Menurut Morningstar, kos kerugian yang ditanggung syarikat insurans dijangka antara €1 bilion hingga €1.2 bilion, mengatasi kerugian diinsuranskan sebanyak €730 juta susulan rusuhan pada 2023.
“Di sebalik setiap premis yang dipecahkan, ada usahawan, pekerja, keluarga dan selalunya hasil kerja selama bertahun-tahun,” kata Presiden Konfederasi Pedagang Perancis, Pierre Bosche.
“Kami enggan membiarkan peniaga sekali lagi menjadi mangsa keganasan yang tidak ada kaitan dengan mereka.”
Sementara itu, pemilik sebuah kedai kecil membaiki telefon dan serbaneka berhampiran Gare du Nord berkata, dia bimbang akan keselamatannya apabila kira-kira 100 individu muda berpakaian hitam cuba menceroboh premisnya pada malam Ahad.
Dia menganggarkan kos membaiki kerosakan antara €7,000 hingga €10,000.
“Lima belas minit bersendirian di sebalik tingkap kaca berdepan individu seramai itu terasa sangat lama,” katanya dalam keadaan menahan sebak.
Menurutnya, dia sudah menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, namun tiada anggota tiba di lokasi. - The Financial Times