Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Henti kata 'yang menang hidup, yang kalah mati'

Agensi
Oktober 3, 2022 15:00 MYT
Penyokong Arema FC memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi di Stadium Kanjuruhan. - Gambar/ Reuters
PENGURUS pasukan bola sepak Arema FC, Ali Fikri memohon masyarakat tidak terus menuding jari antara satu sama lain dalam insiden rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Sabtu lalu.
Memetik laporan Kompas, Ali yang ditemui di perkarangan stadium Kanjuruhan Malang dilihat mengalirkan air mata mengenangkan tragedi rusuhan yang meragut 125 nyawa orang awam.
"Tolong henti kata-kata yang menang hidup yang kalah mati. Tolong hargai kerja orang. Apapun hasil skor harus kita terima," ujarnya.
Dalam pada itu, air mata Ali Fikri dan pasukannya berjurai ketika menabur bunga di perkarangan stadium, hari ini.
Sementara itu, jurulatih Arema FC, Javier Roca yang turut menangis ketika ditemui media Indonesia memberitahu kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
"Saya kira ini sudah cukup. Tragedi ini perlu dijadikan pengajaran agar semua pihak dapat memulakan daripada kosong," katanya dalam nada hiba.
Selepas selesai menabur bunga, pemain dan pelatih masuk ke dalam Stadium Kanjuruhan dan berdoa bersama.
#Indonesia #rusuhan #Stadium Kanjuruhan #Ali Fikri