Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Pegawai polis terkorban dinaik pangkat

Bernama
Oktober 4, 2022 13:23 MYT
polis Indonesia juga akan memberi hak dan bantuan lain bagi menjaga kebajikan keluarga mereka. - Gambar fail/ Reuters
JAKARTA: Dua pegawai polis yang terkorban ketika bertugas dalam tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, dinaikkan pangkat.
Brigadier Pertama Fajar Yoyok Pujianto dinaikkan pangkat kepada Brigadier manakala Ketua Brigadier Andik Purwanto kepada Asisten Inspektor, mengikut arahan Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo.
Kenaikan pangkat itu diumumkan oleh Ketua Biro Sumber Manusia Polis Jawa Timur Pesuruhjaya Jeneral Harry Kurniawan semasa menziarah keluarga kedua-dua pegawai itu.
Media tempatan melaporkan, polis Indonesia juga akan memberi hak dan bantuan lain bagi menjaga kebajikan keluarga mereka.
Pegawai itu adalah antara 125 orang yang terkorban selepas perlawanan bola sepak antara Arema FC dan Persebaya Surabaya, apabila polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai di padang, lalu menyebabkan rempuhan.
Tragedi itu berlaku selepas pasukan Arema FC tewas 3-2, dan mencetuskan kemarahan penyokong yang kemudiannya menceroboh masuk padang untuk bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan.
Tidak kurang 323 lagi cedera.
-- BERNAMA
#rusuhan Stadium Kanjuruhan #polis terkorban #naik pangkat #korban bola sepak