SINGAPURA:Peguam mewakili blogger Leong Sze Hian yang disaman fitnah oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyatakan, yang defendan tidak akan memberikan keterangan dalam prosiding itu.

“Kami tidak akan memanggil defendan,” kata peguam Lim Tean dari Carson Law Chambers kepada Bernama semasa ditemui di akhir sesi perbicaraan pada Rabu.

“Kami rasa cukup untuk nyatakan kepada hakim bahawa tidak ada kes untuk kami kemukakan. Kes plaintif sangat lemah. Tidak ada keperluan untuk kami panggil defendan sebagai saksi,” kata Lim.

Ditanya mengenai akibat daripada tidak mengemukakan bukti untuk pihak pembelaan, Lim berkata: “Hakim masih perlu untuk memutuskan sama ada kes itu dimenangi plaintif atau defendan.”

Beliau berkata, kedua-dua pihak masing-masing akan mengemukakan penghujahan bertulis mereka dan mahkamah akan bersidang semula pada 30 Nov.

Lee, 68, mengemukakan saman itu dalam kapasiti beliau sebagai rakyat biasa selepas Leong berkongsi satu hantaran di akaun Facebooknya pada November 2018, yang mempunyai pautan kepada satu artikel dari laman portal berita Malaysia, The Coverage.

Meskipun hantaran itu sudah ditarik balik, Lee telah memilih untuk meneruskan saman terhadap Leong atas dasar “mengeluarkan (hantaran di Facebook) bukan bermakna fitnah terpadam.”

Plaintif itu berkata artikel yang disiarkan secara dalam talian tersebut mengandungi dakwaan ‘palsu dan jelas memfitnah’ dan mengaitkan beliau dengan skandal pengubahan wang haram dana pelaburan negara Malaysia 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kandungan artikel itu telah diambil daripada laman sesawang States Times Review.

Semasa menghuraikan alasannya di hadapan Hakim Aedit Abdullah untuk tidak mengemukakan bukti bagi pihak pembelaan Lim berkata, “beban pembuktian pihak pembelaan hanya satu daripada sembilan isu yang dikemukakan plaintif.”

Lim berkata, isunya adalah di mana keputusan plaintif untuk memfailkan saman terhadap defendan adalah satu penyalahgunaan proses.

Berkaitan dengan lapan lagi isu Lim berkata, pada pandangan beliau, plaintif yang menanggung beban pembuktian.

Terdahulu, pada perbicaraan semalam saksi pakar, Dr Phan Tuan Quang dari Hong Kong University Buisness School telah memberikan keterangan beliau kepada mahkamah menerusi sidang video.

Kepada satu soalan Lim, Phan menyatakan yang beliau tahu plaintif dalam kes ini adalah Perdana Menteri Singapura dan ketua kerajaan Singapura.

Lim: Adakah anda bersetuju dengan saya, yang anda tidak boleh mendakwa sebagai pakar bebas, kerana anda telah menerima 23 geran di masa lalu dari kerajaan Singapura dan anda tentunya akan mempunyai kecenderungan terhadap plaintif?

Phan: Saya tidak pernah bertemu plaintif secara bersemuka. Ia adalah… kesemua geran tersebut telah nilai oleh penilai luaran global. Ia tidak diberikan berdasarkan keputusan seorang. Geran ini juga melibatkan usaha yang besar dan meliputi keutamaan yang pelbagai, termasuk kerjasama antarabangsa.

Lim: Saya cadangkan kepada awak, Dr Phan, yang anda bukan seorang pakar bebas, dan keterangan anda dibayangi oleh kenyataan bahawa anda mempunyai hubungan dengan kerajaan Singapura, yang diketuai plaintif.

Phan: Satunya, saya kini tidak berada di Singapura. Saya di Hong Kong. Dan dengan jelas selepas kes ini bermula. Ya, Saya pernah di Singapura dan NUS (National University of Singapore) pernah menjadi majikan saya untuk sekian lama, tetapi seperti yang saya sebutkan, kami mempunyai kebebasan akademik yang agak banyak bagi melaksanakan isu secara objektif.

Kepada soalan lain dari Lim, Phan berkata, beliau percaya kepada profesionnya, dan sebagai seorang ahli akademik, beliau akan boleh berikan bukti secara objektif.

-- BERNAMA