[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
INTERNATIONAL

Samoa isytihar darurat selama 30 hari susulan krisis bekalan elektrik

Bernama 31/03/2025 | 21:15 MYT
Perdana Menteri Samoa, Fiame Naomi Mata'afa minggu lalu mengakui gangguan bekalan elektrik yang besar menjejaskan kehidupan penduduk dan operasi perniagaan di negara itu. - Gambar Reuters
SUVA: Kerajaan Samoa mengisytiharkan darurat selama 30 hari pada Isnin susulan krisis bekalan elektrik di Upolu, pulau utama negara itu, lapor Xinhua.
Menurut Radio New Zealand, gangguan bekalan kuasa bermula sejak bulan lalu akibat kerosakan pada kabel elektrik utama bawah tanah, yang kemudian memerlukan pembaikan lanjut.
Selain itu, kegagalan tiga penjana utama turut mengurangkan kapasiti penjanaan tenaga.
Selain itu, cuaca buruk turut menyebabkan kerosakan pada talian elektrik dan tiang utama, selain kegagalan penjana sokongan yang sepatutnya berfungsi sebagai alternatif.
Perdana Menteri Samoa, Fiame Naomi Mata'afa minggu lalu menyatakan bahawa kombinasi faktor ini telah mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang besar, menjejaskan kehidupan penduduk dan operasi perniagaan di negara itu.
Bagi menangani krisis ini, kerajaan mengeluarkan arahan darurat antara lain termasuk pengecualian cukai ke atas peralatan berkaitan elektrik serta menggerakkan bantuan kepada isi rumah, perniagaan dan sektor swasta, menurut laporan media tempatan Samoa Observer.
Fiame turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan ketibaan serta operasi penjana sementara sebelum penghujung April, sementara penjana tetap dijangka beroperasi pada Ogos.
-- BERNAMA
#Samoa #darurat #bekalan elektrik #kerosakan kabel elektrik