Skip to main content

Dunia

Sampel salad positif parasit punca wabak cirit-birit besar-besaran di AS

Sumber: Taylor Farms
Sampel daripada pembekal makanan Taylor Farms didapati positif parasit Cyclospora. - Foto X/DocumentingLibs
Advertisement

WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengenal pasti salad jenis 'iceberg lettuce' sebagai punca wabak cirit-birit besar-besaran yang telah menjangkiti ribuan orang di negara itu, selepas sampel daripada pembekal makanan Taylor Farms didapati positif parasit Cyclospora.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) berkata sampel berkenaan diambil daripada produk keluaran Taylor Farms, pembekal kepada rangkaian restoran makanan segera Taco Bell, namun syarikat itu mengesahkan produk terbabit tidak termasuk dalam penarikan balik yang diumumkan pada Jumaat.

Taylor Farms sebelum ini mengumumkan pengeluaran secara sukarela semua iceberg lettuce yang diperoleh dari tengah Mexico daripada pasaran AS, selain mengeluarkan senarai produk yang terjejas.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, namun sekurang-kurangnya 94 individu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan penyakit cyclosporiasis yang disebabkan oleh parasit tersebut.

FDA memaklumkan sampel positif itu diperoleh menerusi pengawasan khusus terhadap produk import sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung wabak berkenaan.

Menurut agensi itu, Taylor Farms sedang mengenal pasti sama ada lot produk yang terbabit masih berada di pasaran atau telah dibeli pengguna.

Jangkitan pertama dilaporkan pada 13 Mei lalu, menurut FDA.

Penyakit bawaan makanan itu boleh mengambil masa sehingga dua minggu sebelum simptom muncul.

Antara gejalanya adalah cirit-birit berair yang berpanjangan, penurunan berat badan secara mendadak dan hilang selera makan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata ribuan kes jangkitan Cyclospora dikaitkan dengan iceberg lettuce yang dibekalkan oleh Taylor Farms dan dijual di restoran Taco Bell di sekurang-kurangnya lima negeri.

Sehubungan itu, CDC menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan salad iceberg yang dipotong halus dan dihidangkan di premis Taco Bell di Indiana, Kentucky, Michigan, Ohio dan West Virginia.

Taco Bell dalam kenyataannya memaklumkan syarikat itu telah selesai mengeluarkan semua stok salad yang terjejas daripada restorannya.

Sementara itu, Taylor Farms berkata pihaknya telah menghentikan penerimaan bekalan daripada lot yang dikenal pasti, menggantung pengedaran iceberg lettuce dari tengah Mexico serta memaklumkan perkara itu kepada pelanggan.

Syarikat berkenaan turut memaklumkan ia sedang bekerjasama dengan FDA, CDC dan pihak berkuasa negeri dalam siasatan lanjut.

Menurut FDA, produk yang terlibat turut merangkumi iceberg lettuce jenama Marketside yang dijual di cawangan Walmart di 15 negeri.

Secara keseluruhan, produk salad tersebut telah ditarik balik atau dikeluarkan daripada pasaran di 27 negeri di seluruh AS.
 

 

Must Watch Video

Advertisement