Samseng dipenjara seumur hidup kerana bunuh wartawan

Azyyati Ahmad
Mei 2, 2018 21:03 MYT
Rajan ditahan sejak 2015 selepas diekstradisi dari Indonesia. -Foto NDTV
Seorang samseng 'terkenal' di India, Chhota Rajan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana mengatur pembunuhan seorang wartawan jenayah di Mumbai pada tahun 2011.
Mahkamah mendapati wartawan Jyotirmoy Dey ditembak mati empat lelaki bermotosikal yang bertindak atas arahan Rajan.
Lapor BBC, wartawan Jigna Vora dan suspek lain dibebaskan dari tuduhan dalam pembunuhan itu kerana kekurangan bukti.
Rajan, 58, ditahan sejak 2015 selepas diekstradisi dari Indonesia.
Dia dijatuhi hukuman pada Rabu oleh mahkamah di Mumbai bersama-sama lapan pembantunya.
Seorang suspek masih lagi dicari polis, manakala seorang lagi meninggal dunia pada tahun 2015.
Walaupun 155 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, tidak ada saksi yang melihat pembunuhan itu.
Dey, 56, menulis dengan nama pena J Dey merupakan antara wartawan jenayah terbaik di Mumbai.
Dia banyak mendedahkan kes dan kisah mengenai dunia gangster, termasuk yang membabitkan Rajan.
#Chhota Rajan #Jigna Vora #Jyotirmoy Dey #meninggal dunia #Mumbai #samseng india #wartawan jenayah