Samsung henti sementara jualan Galaxy Note 7 susulan insiden bateri meletup

Agensi
September 2, 2016 12:32 MYT
Samsung setakat ini telah menjual sejumlah 1 juta unit Note 7 di Korea Selatan dan di Amerika Syarikat. - Gambar fail
Samsung pada Jumaat mengumumkan pihaknya akan menggantung penjualan telefon pintar terbaharu Galaxy Note 7 berikutan menerima laporan mengenai insiden bateri yang meletup sekali gus boleh menjejaskan reputasi gergai elektronik Korea Selatan itu.
Samsung juga akan menawarkan peranti baharu bagi mereka yang sudahpun membeli telefon pintar dengan skrin lebar itu, lapor AFP.
“Kami telah menerima beberapa laporan mengenai kajadian bateri telefon pintar Note 7 yang meletup selepas ia dilancarkan pada 19 Ogos lalu, dan telah disahkan bahawa ia adalah masalah sel bateri,” ujar Ketua Bahagian Telefon Pintar Samsung, Koh Dong-Jin
Samsung setakat ini telah menjual sejumlah 1 juta unit Note 7 di Korea Selatan dan di Amerika Syarikat.
Sehingga kini, 24 unit telah disahkan mengalami masalah bateri, ujar Dong-Jin, dan beliau sangat kesal dengan insiden berkenaan.
Sejak bulan lalu, beberapa pengguna telah memuat naik gambar dan video di media sosial yang menunjukkan Note 7 milik mereka yang terbakar dan mencair.
Faktor keselamatan penggunaan Note 7 yang semakin membimbangkan telah memaksa Samsung menggantung bekalan dan edaran model telefon pintar itu serta menangguhkan jadual pelancarannya pada bulan ini di beberapa negara Eropah termasuk Perancis.
#Galaxy Note 7 #insiden bateri meletup #jualan #Samsung