DUNIA

Sanae Takaichi catat sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun

Astro Awani 21/10/2025 | 05:18 MYT
Takaichi (berdiri) memperoleh 237 undi daripada keseluruhan 465 kerusi, sekali gus mengesahkan pelantikannya sebagai perdana menteri ke-104 Jepun bagi menggantikan Shigeru Ishiba. -Foto AP
TOKYO: Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), Sanae Takaichi, hari ini mencatat sejarah apabila dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi undian majoriti di Dewan Rakyat.


Ringkasan AI
  • Sanae Takaichi dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun selepas memenangi undian majoriti di Dewan Rakyat, menggantikan Shigeru Ishiba.
  • Beliau mengetuai kerajaan minoriti melalui pakatan baharu antara LDP dan Parti Inovasi Jepun, dengan fokus kepada pemulihan ekonomi dan reformasi fiskal.
  • Pelantikan Takaichi dilihat sebagai detik bersejarah dalam politik Jepun yang selama ini didominasi lelaki, membuka lembaran baharu kepimpinan negara.


Takaichi, 64, memperoleh 237 undi daripada keseluruhan 465 kerusi, sekali gus mengesahkan pelantikannya sebagai perdana menteri ke-104 Jepun bagi menggantikan Shigeru Ishiba yang meletak jawatan bulan lalu susulan kekalahan pilihan raya.

Pelantikan rasmi dijadual berlangsung petang ini selepas mendapat pengesahan daripada Dewan Negara dan pertemuan dengan Maharaja Naruhito.

Takaichi dijangka membentuk Kabinet baharu malam ini.

Beliau mengetuai kerajaan minoriti selepas LDP membentuk pakatan baharu dengan Parti Inovasi Jepun (JIP) yang berhaluan kanan, susulan pembubaran pakatan 26 tahun dengan Komeito pada 10 Oktober lalu.

Dalam kenyataan bersama dengan pemimpin JIP, Hirofumi Yoshimura, Takaichi menyatakan komitmen untuk memperkukuh ekonomi dan melaksanakan reformasi fiskal, termasuk cadangan penurunan cukai makanan.

Takaichi, yang pernah memegang beberapa portfolio menteri di bawah pentadbiran Shinzo Abe dan Fumio Kishida, dikenali sebagai konservatif tegar dan pengkritik dasar China.

Beliau juga pernah bergiat sebagai pemain dram muzik heavy metal sebelum menceburi politik.

Pelantikan beliau dilihat sebagai detik bersejarah dalam landskap politik Jepun yang selama ini didominasi lelaki, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kepimpinan negara itu.



#Sanae Takaichi #perdana menteri wanita pertama Jepun #menang undian majoriti #Shigeru Ishiba