ISTANBUL: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Sabtu berkata Washington "sangat terganggu" dengan laporan mengenai serangan ke atas seorang wartawan foto warga Amerika di Tebing Barat yang diduduki dan menggesa Israel mengekang keganasan seumpama itu, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami telah meminta pihak Israel dan akan terus meminta mereka supaya mengambil tindakan tegas terhadap perkara sedemikian," kata Rubio merujuk kepada serangan terhadap wartawan foto Heidi Levine.
Beliau berkata Presiden AS Donald Trump "telah menyatakan dengan sangat jelas" bahawa beliau tidak mahu melihat sebarang "pergeseran" atau krisis baharu tercetus di Tebing Barat.
Rubio berkata AS telah menghubungi kedutaannya bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden itu.
Beliau turut berkata laporan media menunjukkan Levine dipukul selepas terperangkap dalam serangan oleh sekumpulan peneroka haram Israel.
"Perkara itu amat tidak menyenangkan," katanya sambil menyifatkan insiden berkenaan sebagai "membimbangkan".
Ketika ditanya mengenai keputusan Trump menarik balik sekatan terhadap peneroka haram Israel pada hari pertama beliau memegang jawatan tahun lepas, Rubio berkata langkah itu tidak bermakna presiden berkenaan menyokong serangan seumpama itu.
"Tindakan menarik balik sekatan ... tidak bermakna beliau menyokong apa yang dilihatnya di televisyen dan dibacanya ketika ini," katanya.
Rubio turut berkata Washington sedang memantau rapat kebimbangan mengenai keganasan sepanjang musim memetik buah zaitun di Tebing Barat yang diduduki, sambil menyatakan bahawa tempoh itu secara tradisinya menyaksikan kehadiran ramai orang ke kawasan berkenaan.
Beliau juga berkata kebimbangan serupa mungkin timbul di Lubnan.
Sementara itu, Duta Besar AS ke Israel Mike Huckabee menggesa pihak berkuasa Israel supaya mendakwa dan memenjarakan individu yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas Levine.
"Serangan terhadap seorang jurugambar wanita adalah tindakan keganasan keji yang dilakukan oleh pengecut bertopeng," tulis Huckabee menerusi platform media sosial X pada Sabtu.
"Mereka yang menyerang wartawan tidak bersenjata itu sepatutnya dipenjarakan selama bertahun-tahun," katanya sambil menggesa siasatan menyeluruh dijalankan serta semua individu yang terlibat ditangkap dan didakwa dengan menggunakan sepenuhnya peruntukan undang-undang yang berkenaan.
Levine sedang membuat liputan musim memetik buah zaitun tahunan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki pada Jumaat apabila beliau dan beberapa rakyat Palestin diserang oleh peneroka haram Israel.
Menurut saksi, peneroka haram Israel menyerbu kawasan itu, memukul Levine serta merampas pasport, telefon, dompet dan peralatan kameranya.
Levine berkata penyerang yang bersenjatakan botol dan lastik itu menendangnya selama kira-kira 10 minit ketika beliau cuba mempertahankan kamera serta begnya daripada dirampas.
-- BERNAMA-ANADOLU