DUNIA
Sarang penyengat tercemar radiasi ditemui di bekas tapak nuklear AS

Sarang penyengat dengan radiasi 10 kali ganda had selamat ditemui di bekas fasiliti nuklear AS. -Gambar fail/Pixabay
AIKEN : Sebuah sarang penyengat yang disahkan tercemar radiasi telah ditemukan di Tapak Sungai Savannah (Savannah River Site), bekas fasiliti pengeluaran komponen bom nuklear Amerika Syarikat (AS).
Ringkasan AI
- Sarang penyengat dengan radiasi 10 kali ganda had selamat ditemui di bekas fasiliti nuklear AS.
- Pencemaran dipercayai berpunca daripada sisa radioaktif legasi, bukan kebocoran semasa.
- Pihak pengurusan tapak beri jaminan tiada ancaman kepada orang awam.
Sarang tersebut ditemui pada tiang berhampiran ladang tangki F-Area dan segera disembur dengan racun serangga sebelum dilupuskan sebagai sisa radioaktif.
Tiada penyengat ditemui dalam sarang berkenaan, namun analisis menunjukkan tahap pencemaran melebihi 10 kali nilai maksimum yang ditetapkan oleh peraturan keselamatan radiasi.
Menurut laporan rasmi, tiada kebocoran dikesan daripada tangki sisa nuklear dan pencemaran dipercayai berpunca daripada sisa radiasi yang tertinggal sejak tapak itu beroperasi penuh semasa era Perang Dingin.
Kumpulan pemantau bebas Savannah River Site Watch bagaimanapun menyuarakan kebimbangan terhadap laporan tersebut yang disifatkan sebagai tidak lengkap.
Pengarah eksekutifnya, Tom Clements mempersoalkan asal-usul pencemaran dan kemungkinan terdapat sarang lain yang turut tercemar jika wujud kebocoran yang tidak dikesan.
“Jenis penyengat juga penting untuk dikenal pasti kerana sesetengah spesies membina sarang daripada tanah, manakala yang lain menggunakan bahan berbeza — ini boleh membantu mengenal pasti sumber pencemaran,” katanya.
Dalam kenyataan kepada akhbar tempatan Aiken Standard, pihak pengurusan tapak, Savannah River Mission Completion, memberi jaminan bahawa tiada ancaman kepada orang awam kerana kawasan tangki terletak jauh di dalam sempadan fasiliti dan penyengat lazimnya tidak terbang jauh dari sarang.
Tapak Sungai Savannah, yang dibuka pada awal 1950-an, pernah menghasilkan bahan seperti tritium dan plutonium-239 untuk senjata nuklear.
Kini, ia berfungsi sebagai pusat penyimpanan dan pelupusan sisa nuklear serta penghasilan bahan api untuk loji tenaga nuklear.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami