ADA ramai lelaki yang teringin benar untuk berkahwin lebih daripada satu, namun, keinginan itu terbantut kerana banyak faktor yang menjadi halangan antaranya, tidak mempunyai kemampuan untuk menyara.

Namun, di Thailand, seorang lelaki menjadi bahan berita media antarabangsa apabila dia dengan bangganya berkongsi mengenai kehebatannya memiliki bukan dua atau tiga isteri, sebaliknya, lapan wanita yang menyayangi dan hidup bahagia bersamanya.

Portal berita The Sun melaporkan, kehebatan Ong Dam Sorot juga tentu sekali tidak dapat ditandingi kerana dia juga menghimpunkan kesemua lapan isterinya itu tinggal sebumbung.

Pelukis tatu ini juga mempunyai jadual waktu giliran setiap isteri untuk tidur bersamanya.

Bunyinya aneh dan tidak masuk akal, namun, Sorot mendedahkan, dia bersama isteri-isterinya itu hidup bahagia sebagai sebuah keluarga besar.

Dalam wawancara dengan sebuah program yang disiarkan di saluran YouTube baru-baru ini, Sorot memperkenalkan kesemua lapan isterinya itu dan bercerita detik-detik perkenalan mereka.

Sorot betemu isteri pertamanya, Nong Sprite di majlis perkahwinan rakannya dan dia tidak menunggu lama untuk mengajaknya segera bernikah.

Pertemuan dengan isteri kedua, Nong L terjadi di pasar manakala dengan isteri ketiga, Nong na pula, Sorot berkenalan dengannya di hospital.

Manakala dengan isteri keempat, kelima dan keenam pula, Sorot mengenali kesemua mereka di laman media sosial masing-masing di Instagram, Facebook dan TikTok.

Jodoh Sorot dengan Nong Film yang juga isteri ketujuh ditakdirkan ketika mereka bertemu di kuil Phra Pathom Chedi.

Sementara, Nong Mai yang juga isteri kelapan Sorot ditemuinya ketika lelaki itu sedang bercuti dengan empat isterinya di Pattaya.

ONG DAM SOROT

Berkongsi kasih sesama lapan orang tidak mencetus sebarang isu buat kesemua wanita yang bergelar isteri Sorot.

Ini kerana, kata wanita-wanita itu, suami mereka digambarkan sebagai lelaki yang baik dan adil.

“Dia mungkin lelaki yang sangat mengambil berat dan sentiasa bersikap adil yang pernah kami temui,” kata kesemua wanita itu seperti dilaporkan The Sun.

Isteri-isteri Sorot juga mendedahkan, mereka tidak pernah mencemburui satu sama lain kerana Sorot memberi layanan sama rata buat satu sama lain. 

Dua daripada isteri Sorot ketika ini sedang hamil dan dia juga mempunyai seorang anak lelaki menerusi perkahwinan dengan isteri pertamanya, Nong Sprite.

Memandangkan kesemua mereka tinggal sebumbung, Sorot menyediakan empat bilik tidur di kediaman mereka untuk dikongsi dua orang isteri sebilik.

Seperti yang dijelaskan, Sorot menyediakan jadual waktu giliran bagi setiap isteri mengadakan hubungan
intim dengannya.

Sebetulnya, Sorot menganggap dirinya bertuah kerana tidak pernah mendapat halangan daripada mana-mana isteri ketika menyuarakan hasrat untuk berpoligami.

Isteri pertamanya, Nong Sprite misalnya berkata, kerana terlalu menyayangi Sorot dia membenarkan suaminya berkahwin lain.

Kerana terlalu mencintai Sorot juga, tujuh lagi isteri lain tidak kisah berkongsi kasih dengan lelaki itu sekalipun memahami dan menyedari situasi suami mereka yang memiliki komitmen besar.

Sorot yang sudah terbukti melunaskan janji-janji menjaga kebajikan kesemua wanita itu membuatkan isteri-isterinya semakin menyayanginya.

Bagaimanapun, beberapa isteri Sorot tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah untuk menjelaskan kedudukan mereka kepada keluarga dan kenalan masing-masing.

Bahkan, bukan semuanya boleh menerima keadaan itu kerana perkahwinan berkenaan bukan seperti perkahwinan yang lazimnya diamalkan.

Dalam usaha mengekalkan keharmonian rumah tangga, Sorot mengingatkan isteri-isterinya itu agar sentiasa bersikap jujur dengannya.

Dan Sorot juga begitu terbuka sekiranya ada dalam kalangan isterinya menemui orang lain, mereka boleh sahaja memberitahunya mengenai perkara itu.

Sebagai lelaki yang memiliki lapan isteri serentak, Sorot tidak terlepas ditanya bagaimana dia mampu menyara keluarga besarnya itu.

Tidak ketinggalan, ada yang beranggapan Sorot memiliki kekayaan yang melimpah menyebabkan dia boleh memiliki jumlah isteri seramai itu.

Namun, Sorot menafikan dia mempunyai kekayaan, sebaliknya, setiap seorang dalam rumah itu tahu tanggungjawab dan tugas masing-masing.

Kesemua isteri Sorot juga mempunyai pendapatan sendiri dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual pelbagai produk selain barangan kraftangan.