Kapten feri Korea Selatan yang karam tiga hari lalu dengan 476 orang di atasnya, Lee Joon- Seok berkata dia telah menangguhkan pemindahan kerana bimbang penumpang akan dibawa arus.

Menurut laporan AFP, Lee turut mempertahankan keputusan untuk menangguhkan pemindahan penumpang kerana 'kapal penyelamat belum tiba'.

“Pada ketika itu, kapal penyelamat belum tiba. Perahu nelayan atau kapal lain juga tiada untuk membantu.

“Arus juga amat kuat dan air sejuk di kawasan tersebut.

“Saya merasakan penumpang akan dihanyutkan dan menghadapi masalah sekiranya dipindahkan secara terburu-buru,” katanya.

Pakar sebelum ini berpendapat bahawa lebih ramai orang mungkin telah terselamat sekiranya mereka dipindahkan sebelum feri itu mencondong dan air memasukinya.

Lee dilaporkan telah didakwa dengan tuduhan kecuaian dan gagal untuk menjamin keselamatan penumpang ,yang melanggar undang-undang maritim.

Sementara itu, pasukan penyelam dilaporkan telah mengesan beberapa lagi mayat di dalam feri yang karam itu.

Seorang pegawai pengawal pantai dilaporkan berkata penyelam-penyelam tersebut cuba untuk memecahkan cermin feri untuk masuk ke dalam, tetapi tugas itu terlalu sukar.

Setakat ini, hanya 174 orang berjaya diselamatkan dari feri yang membawa 476 penumpang.

Sejumlah 32 orang telah disahkan meninggal dunia dan 270 lagi masih hilang.