GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

"Saya akan ubah monarki bila jadi raja" - Putera William

Agensi 03/10/2025 | 01:00 MYT
Putera William mengakui tidak gentar dengan perubahan – malah menyambut baik peluang untuk melakukan pembaharuan.
LONDON: Pewaris takhta Britain, Putera William berikrar akan membawa perubahan kepada institusi diraja sebaik sahaja ditabalkan sebagai raja kelak, dalam satu wawancara yang disifatkan sumber istana sebagai paling terbuka pernah dilakukannya.

Dalam temu bual eksklusif bersama pelakon Kanada, Eugene Levy, menerusi program The Reluctant Traveller di Apple TV+, Putera Wales itu mengakui tidak gentar dengan perubahan – malah menyambut baik peluang untuk melakukan pembaharuan.

“Saya rasa selamat untuk katakan bahawa perubahan ada dalam agenda saya. Perubahan yang baik, yang perlu dilakukan. Bukan terlalu radikal, tetapi cukup penting untuk memastikan institusi ini terus relevan,” katanya sambil membawa Levy meninjau Istana Windsor, di sini.

William menaiki skuter elektrik semasa menyambut ketibaan Levy - sesuatu yang jarang dilihat pada figura diraja.

Dalam wawancara yang berlangsung secara santai itu, William turut berkongsi minatnya terhadap siri filem American Pie lakonan Levy serta pengalaman hidupnya di istana.

Mengulas tentang tradisi, William menegaskan kepentingan menjaga warisan, namun tidak teragak-agak untuk mempersoalkan amalan lama yang mungkin tidak lagi sesuai.

“Ada waktunya kita perlu bertanya – adakah tradisi itu masih relevan hari ini? Adakah ia memberi kesan yang sepatutnya? Saya rasa penting untuk menilai semula,” ujarnya.

Wawancara itu tidak menyentuh tentang hubungan dengan adiknya, Putera Harry, namun Putera William menegaskan tidak mahu generasi anak-anaknya melalui pengalaman pahit seperti yang pernah ditempuh oleh mereka berdua.

“Saya akan lakukan apa sahaja supaya kita tidak kembali ke zaman itu,” tegasnya. - Agensi







#Putera William #Raja Charles III #Eugene Levy #The Reluctant Traveller #pewaris takhta Britain