DUNIA
Saya 'tiada hubungan' dengan Trump - Presiden Brazil

Presiden Lula (kiri) menegaskan, rakyat Amerika akan membayar harga bagi kesilapan Presiden Trump dalam hubungannya dengan Brazil.
BRASILIA:: Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menegaskan beliau “tiada hubungan” dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam satu wawancara eksklusif bersama BBC.
Lula sebelum ini kerap mengkritik Trump, namun, kenyataan terbaharu ini dilihat sebagai isyarat paling jelas bahawa komunikasi antara kedua-dua pemimpin kini terputus sepenuhnya.
Walaupun AS menikmati lebihan dagangan dengan Brazil, Trump pada Julai lalu mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap barangan Brazil.
Lula turut mengaitkan langkah itu dengan perbicaraan bekas Presiden sayap kanan, Jair Bolsonaro yang kini berdepan tuduhan cubaan rampasan kuasa.Lula menyifatkan tarif tersebut sebagai “bermotifkan politik” dan memberi amaran bahawa rakyat AS sendiri akan menanggung kesannya menerusi harga lebih tinggi untuk barangan import seperti kopi dan daging lembu dari Brazil.
“Rakyat Amerika akan membayar harga bagi kesilapan Presiden Trump dalam hubungannya dengan Brazil,” tegas Lula.
Kedua-dua pemimpin itu tidak pernah berhubung secara langsung. Ditanya mengapa beliau tidak mencuba untuk menghubungi Trump, Lula menjawab: “Saya tidak pernah cuba kerana beliau sendiri tidak mahu berbincang.”
Trump sebelum ini menyatakan Lula boleh “menghubunginya pada bila-bila masa”, namun menurut Lula, pentadbiran Trump “tidak mahu bercakap”.
Lula turut mendedahkan, beliau hanya mengetahui mengenai tarif baharu itu melalui akhbar Brazil, sambil menyifatkan cara Trump mengumumkannya di media sosial sebagai “tidak beradab.”
Apabila ditanya bagaimana beliau menggambarkan hubungan dengan Trump, Lula menjawab ringkas: “Tiada hubungan.”
“Dia bukan maharaja dunia”
Lula menegaskan, hubungan dingin dengan Trump adalah pengecualian, sambil menekankan beliau berjaya membina rangkaian baik dengan bekas presiden AS, Perdana Menteri United Kiingdom, Kesatuan Eropah, China, Ukraine, Venezuela dan banyak lagi negara.
Mengulas perbandingan hubungannya dengan Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Lula berkata beliau mengekalkan hubungan dengan Putin sejak kedua-duanya memimpin negara masing-masing “pada masa lalu”.
“Saya tidak ada hubungan dengan Trump kerana ketika beliau dipilih, saya bukan Presiden. Hubungan beliau sebenarnya adalah dengan Bolsonaro, bukan Brazil,” jelas Lula.
Ditanya sama ada beliau akan menyapa Trump pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan, Lula berkata: “Saya akan menghulurkan salam kerana saya seorang warganegara beradab, tetapi dia mungkin Presiden Amerika Syarikat, bukan maharaja dunia.”
Bolsonaro dan cubaan rampasan kuasa
Dalam temu bual sama, Lula turut mengulas sabitan bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang dijatuhi hukuman 27 tahun penjara minggu lalu selepas didapati bersalah cuba merancang rampasan kuasa.
Lula mendakwa, Bolsonaro dan sekutunya “menyakiti negara, cuba merampas kuasa, dan merancang pembunuhan saya”.
Beliau turut mengecam Trump kerana “mencipta kepalsuan” dengan menuduh Bolsonaro dianiaya dan menyoal sistem demokrasi Brazil.
“Jika kejadian rusuhan Capitol 6 Januari berlaku di Brazil, Trump pasti sudah dibicarakan,” kata Lula.
Reformasi PBB dan isu global
Lula menggunakan wawancara tersebut untuk menggesa reformasi menyeluruh terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, hak veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan hanya memihak kepada negara-negara yang menang Perang Dunia Kedua, sementara negara besar lain seperti Brazil, Jerman, India, Jepun dan negara-negara Afrika diketepikan.
Situasi itu, katanya, menyebabkan PBB “tidak berdaya menyelesaikan konflik” dan keputusan unilateral oleh lima kuasa besar menjadi penentu kepada perang.
Mengenai perang Gaza, Lula menegaskan, ia bukan sekadar perang tetapi “satu pembunuhan beramai-ramai”.
Isu iklim dan masa depan politik
Lula juga mengulas mengenai Sidang Kemuncak Iklim COP30 yang akan berlangsung di Brazil pada November.
Beliau mempertahankan pelan penerokaan minyak baharu di muara Sungai Amazon walaupun ditentang menterinya sendiri, Marina Silva, dan kumpulan alam sekitar.
Katanya, Brazil mematuhi undang-undang sepenuhnya dan akan bertanggungjawab penuh sekiranya berlaku tumpahan minyak.
Beliau menegaskan menyokong masa depan tanpa bahan api fosil tetapi menambah: “Saat itu belum tiba lagi. Tiada negara yang benar-benar bersedia meninggalkan bahan api fosil.”
Ditanya mengenai kemungkinan bertanding semula dalam pilihan raya 2026, Presiden berusia 79 tahun itu berkata, keputusan tersebut bergantung kepada kesihatan, parti serta peluang politiknya.
Mengakhiri temu bual, Lula menegaskan, legasi beliau adalah mengurangkan kelaparan, menurunkan kadar pengangguran, dan meningkatkan pendapatan golongan pekerja. - BBC
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami