DUNIA

Sayap baharu Pusat Pengajian Islam Oxford dirasmikan, Malaysia main peranan signifikan

Astro Awani 21/07/2025 | 01:30 MYT
Raja Charles mengulangi kepentingan pendidikan objektif, dialog, dan penghormatan antara budaya bagi merapatkan jurang serta membetulkan salah faham terhadap Islam di dunia Barat. - Astro AWANI
OXFORD: Raja Britain, Raja Charles III berkenan merasmikan sayap bangunan baharu yang dinamakan sempena nama Baginda di Pusat Pengajian Islam Oxford, bersempena ulang tahun ke-40 institusi tersebut.


Ringkasan AI
  • Sempena ulang tahun ke-40 institusi tersebut, sayap bangunan baharu dinamakan sempena Baginda sebagai tanda penghargaan terhadap peranan Raja Charles dalam mempromosikan dialog antara tamadun.
  • Malaysia dipuji sebagai sahabat setia pusat tersebut melalui Biasiswa Merdeka dan kehadiran pemimpin negara dalam Siri Syarahan Perdana yang diasaskan oleh Raja Charles pada tahun 1993.
  • Raja Charles mengulangi kepentingan pendidikan objektif, dialog, dan penghormatan antara budaya bagi merapatkan jurang serta membetulkan salah faham terhadap Islam di dunia Barat.


Raja Charles antara lain bertitah meluahkan kekaguman Baginda melihat Pusat Islam tersebut berkembang pesat di dalam kekalutan dunia yang sudah jauh berubah, berbanding 40 tahun dahulu.

"Komitmen berterusan Pusat Islam ini dalam memupuk pengajian yang objektif dan kerjasama peringkat antarabangsa, yang dibina di atas prinsip dialog, kesefahaman mendalam dan sifat saling menghormati, merupakan sesuatu yang menjadi semakin penting dalam suasana dunia kita pada hari ini,” titah Raja Charles ketika merasmikan sayap bangunan baharu tersebut.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti menyifatkan perkembangan terbaharu ini dengan mengambil kira kekalutan geopolitik dunia sekarang, adalah sesuatu yang membanggakan buat Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berbangga kerana Malaysia telah menjadi salah satu sahabat setia kepada Oxford Centre for Islamic Studies, bukan sahaja melalui kewujudan Auditorium Malaysia - tempat di mana Raja Charles menyampaikan titah ucapan bersejarah Baginda - tetapi juga melalui Biasiswa Merdeka yang telah membuka peluang kepada rakyat Malaysia, sama ada Muslim mahupun bukan Muslim, untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.

“Malah, hampir kesemua Perdana Menteri Malaysia, daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak, hingga Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah diberi penghormatan untuk berucap dalam Siri Syarahan Perdana anjuran pusat pengajian Islam ini - suatu siri syarahan yang telah dirasmikan oleh Raja Charles sendiri, yang ketika itu bergelar Putera Wales, pada tahun 1993 dengan syarahan bersejarahnya bertajuk ‘Islam dan Barat’,” kata beliau kepada Astro AWANI.

Raja Charles telah menjadi Penaung Pusat Islam ini semenjak tahun 1993 lagi, apabila Baginda menyampaikan syarahan bersejarah di Oxford, yang menekankan sumbangan besar tamadun Islam kepada dunia Barat.

Dalam titah syarahan Baginda pada tahun 1993 itu, Baginda pernah bertitah berkait usaha merapatkan kesefahaman antara dua dunia yang berdepan jurang meluas antara Islam dan Barat.

“Seandainya wujud begitu banyak salah faham di dunia Barat mengenai agama Islam, tidak kurang juga banyak kejahilan mengenai betapa terhutang budinya budaya dan tamadun Barat kepada dunia Islam.

"Beta merasakan kegagalan ini berpunca daripada warisan sejarah yang sempit untuk membentuk cara kita memahami tamadun lain,” titah Baginda pada waktu itu.








#Raja Charles III #Pusat Pengajian Islam Oxford #ulang tahun #Auditorium Malaysia