Israel perlu bertanggungjawab ke atas keselamatan wartawan yang membuat liputan di Semenanjung Gaza, kata Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr Chandra Muzaffar.

Beliau mengulas tentang amaran yang diberikan Israel kepada wartawan luar yang sedang membuat liputan di zon konflik tersebut.

"Sebagai kuasa yang menakluk sebuah wilayah, Israel bertanggungjawab ke atas keselamatan wartawan yang membuat liputan tentang konflik di Gaza," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Pejabat Akhbar Kerajaan (GPO) Israel, Gaza dan sekitarnya telah menjadi medan pertempuran dan ia mendedahkan wartawan kepada bahaya yang boleh mengancam nyawa mereka.

Gaza

Israel pada Khamis, telah melancarkan operasi darat di Gaza dengan alasan membalas serangan roket dari wilayah Palestin serta menghancurkan Hamas.

Operasi itu dilakukan pada hari ke-10 serangan rejim itu terhadap Gaza. Puluhan wanita dan kanak-kanak adalah antara yang terbunuh dalam serangan kejam tersebut.

Dalam perkembangan terbaru, sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam mendakwa telah menculik seorang tentera Israel.

Pengumuman penahanan tentera Israel yang dikenali sebagai Shaul Aaron itu telah dibuat menerusi televisyen melalui jurucakap mereka, Abu Obeida.

Gaza
Antara wartawan yang sedang berlindung ketika membuat liputan di Gaza - (AP Photo/Nasser Nasser)

Bagaimanapun, Israel menafikan penculikan itu, mengatakan bahawa tidak ada tentera Israel yang ditawan serta khabar angin tersebut tidak betul.

Penafian itu dibuat oleh Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Ron Prosor kepada wartawan di New York.