SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
DUNIA

Sebahagian komponen sayap pesawat Boeing 737 Delta Air Lines tertanggal ketika penerbangan

Bernama 21/08/2025 | 08:31 MYT
Delta memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan FAA. - Gambar hiasan/AP
ISTANBUL: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) melancarkan siasatan selepas sebahagian komponen kepak sayap sebuah pesawat Boeing 737 tertanggal sebelum mendarat di Texas, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Pesawat dalam perjalanan dari Orlando ke Austin-Bergstrom, Texas, mengalami kerosakan pada bahagian tepi belakang sayap kiri sebelum mendarat.
  • Delta mengesahkan kepak sayap tidak berada pada kedudukan sepatutnya dan telah mengeluarkan pesawat daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan.
  • Pesawat membawa 62 penumpang dan enam kru. Tiada kecederaan dilaporkan, dan Delta berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.


Penerbangan Delta Air Lines 1893 dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando ke Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom pada Selasa apabila penumpang menyedari sebahagian tepi belakang sayap telah rosak.

"Kami ingatkan ia hanya gelora di udara yang teruk. Pesawat bergegar dengan kuat.

"Seorang wanita di hadapan membuka penutup tingkap dan memberitahu kami ia rosak.

"Saya juga membukanya dan terus rasa takut," kata penumpang Shanila Arif kepada CNN.

Delta dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa "sebahagian kepak di sayap kiri tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya".

Pesawat itu telah dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan.

Penerbangan itu membawa 62 penumpang dan enam kru. Tiada kecederaan dilaporkan.

Delta turut memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan FAA.

-- BERNAMA





#Delta Air Lines #sayap tertanggal #pesawat Boeing 737 #Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat