DUNIA

Secara purata, Israel bunuh 28 kanak-kanak Palestin setiap hari di Gaza - UNICEF

Agensi 05/08/2025 | 23:00 MYT
Selain makanan, air bersih, ubat-ubatan dan perlindungan, UNICEF turut menegaskan, apa yang paling utama diperlukan kanak-kanak di Gaza ketika ini ialah gencatan senjata. - Gambar Reuters
GAZA: Lebih 18,000 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak tercetusnya serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza, dengan purata 28 kanak-kanak dibunuh setiap hari akibat pengeboman tanpa henti serta sekatan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dibunuh oleh bom. Mati akibat kekurangan zat makanan dan kebuluran. Mati kerana ketiadaan bantuan dan perkhidmatan asas,” kata Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dalam satu kenyataan di platform X pada Selasa.

“Di Gaza, purata 28 kanak-kanak sehari – bersamaan satu bilik darjah – terbunuh.”

UNICEF turut menegaskan, kanak-kanak di Gaza amat memerlukan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan perlindungan.

Tetapi, lebih penting daripada segalanya, kata agensi itu, mereka “memerlukan gencatan senjata, SEKARANG.”

Sejak serangan bermula pada 7 Oktober 2023 – susulan serangan Hamas ke atas selatan Israel – lebih 60,933 rakyat Palestin terbunuh, manakala 150,027 lagi cedera, termasuk lebih 18,000 kanak-kanak – bersamaan seorang kanak-kanak setiap jam, menurut angka terkini.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, meninggal dunia akibat kebuluran.

Sebanyak 188 kematian berkaitan kebuluran telah direkodkan, termasuk 94 kanak-kanak, ketika Israel terus menyekat bantuan dan menembak pencari bantuan.

“Bagi yang masih hidup, zaman kanak-kanak mereka telah digantikan dengan perjuangan harian untuk terus hidup,” lapor wartawan Al Jazeera, Aksel Zaimovic.

Kanak-kanak mangsa utama perang

Kadim Khufu Basim, seorang kanak-kanak Palestin yang kehilangan tempat tinggal berkata, dia terpaksa menanggung keluarga seramai enam orang kerana bapanya sedang menerima rawatan di Mesir akibat kecederaan.

“Saya suka bermain bola sepak. Tapi sekarang saya jual biskut. Zaman kanak-kanak saya sudah hilang. Sejak perang bermula, kami sudah tidak punya masa untuk menjadi kanak-kanak lagi,” katanya kepada Al Jazeera.

Mengikut undang-undang antarabangsa, kanak-kanak seperti Basim sepatutnya dilindungi daripada kesan peperangan.

Namun, menurut Zaimovic, “di Gaza, merekalah yang paling menderita akibat kempen ketenteraan Israel. Sekolah dibom secara sengaja, kemudahan air dimusnahkan, dan bekalan makanan disekat secara sistematik. Hak asasi zaman kanak-kanak seperti pendidikan, permainan dan pemakanan seimbang telah dijadikan senjata terhadap satu generasi.”

‘Tanah perkuburan untuk kanak-kanak’

Kesengsaraan psikologi juga turut menghantui kanak-kanak di Gaza.

Rambut dan kulit Lana, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, menjadi putih hampir sepenuhnya selepas serangan udara berhampiran tempat perlindungannya menyebabkan trauma serius – satu keadaan yang dikenali sebagai depigmentasi akibat tekanan.

Menurut ibunya, Mai Jalal al-Sharif, Lana kini hanya bercakap dengan patungnya dan enggan bergaul kerana sering dibuli oleh rakan sebaya akibat penampilannya.

“Dia bercakap dengan patungnya dan tanya, ‘Awak nak main dengan saya, atau awak akan jadi macam budak lain?’ Keadaan mentalnya amat teruk,” kata Mai.

“Gaza kini menjadi tanah perkuburan kepada kanak-kanak – dan impian mereka,” kata Ahmad Alhendawi, Pengarah Serantau NGO Save the Children.

“Ini adalah mimpi ngeri yang berpanjangan untuk setiap kanak-kanak di Gaza. Mereka membesar dengan keyakinan bahawa dunia telah meninggalkan mereka.”

Sekatan bantuan jejaskan 2.3 juta penduduk Gaza

Israel telah menutup sepenuhnya lintasan keluar masuk ke Gaza sejak 2 Mac lalu, hanya membenarkan 86 buah trak bantuan masuk setiap hari – iaitu hanya 14 peratus daripada minimum 600 trak sehari yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas penduduk, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Akibatnya, krisis kebuluran yang belum pernah berlaku kini melanda Gaza.

Lebih 150 organisasi kemanusiaan dan pakar PBB telah menggesa supaya gencatan senjata kekal dilaksanakan, bukan sahaja bagi membolehkan bantuan disalurkan, tetapi juga untuk memberi ruang kepada pemulihan psikologi “generasi yang hilang” di Gaza. - Agensi





#israel serang gaza #kanak-kanak Palestin #Israel bunuh kanak-kanak #kebuluran Gaza