RAFAH: Sejumlah 56 tebusan dalam konflik perang antara kumpulan pejuang Hamas dan Israel telah dibebaskan pada hari kedua gencatan senjata Israel-Hamas.

Hamas telah membebaskan 13 tebusan Israel dan 4 warga Thailand, manakala Israel membebaskan 39 tahanan Palestin termasuk 33 kanak-kanak di bawah umur.

Hamas menyerahkan kesemua 17 tebusan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Daripada 13 warga Israel yang dibebaskan, enam adalah wanita dan tujuh daripadanya adalah kanak-kanak dan remaja.

Kesemua tebusan warga Israel yang ditahan selama 50 hari itu dibawa ke sempadan Rafah bagi pemeriksaan kesihatan oleh ICRC sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Israel.

Menurut perjanjian yang ditaja oleh Qatar, Hamas akan membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak, daripada kira-kira 240 orang yang ditawan oleh kumpulan itu semasa serangan ke atas Israel selatan pada 7 Oktober.

Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan sejumlah 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel, yang disifatkan oleh rakyat Palestin sebagai mangsa pendudukan Israel.