Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.
DUNIA

Sejuta nyawa diselamatkan daripada malaria pada 2024, tetapi rintangan ubat ancam kemajuan - WHO

Bernama 04/12/2025 | 21:30 MYT
Sejak vaksin malaria pertama diluluskan pada 2021, sebanyak 24 negara memasukkannya ke dalam program imunisasi nasional, menurut penemuan yang dikeluarkan dalam Laporan Tahunan Malaria. - Gambar fail/REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengesahkan yang penggunaan lebih meluas alat baharu untuk memerangi malaria, termasuk kelambu dua bahan dan vaksin yang disyorkan WHO, membantu mencegah kira-kira 170 juta kes dan sejuta kematian akibat malaria pada 2024, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • WHO mengesahkan penggunaan alat baharu untuk memerangi malaria, termasuk vaksin, mencegah 170 juta kes dan sejuta kematian pada 2024.
  • Vaksin malaria telah dimasukkan ke dalam program imunisasi nasional di 24 negara sejak 2021, sementara kemopencegahan bermusim melibatkan 54 juta kanak-kanak pada 2024.
  • Walaupun 47 negara dan satu wilayah sudah bebas malaria, laporan WHO menunjukkan peningkatan kes baru dan kematian akibat malaria, dengan cabaran seperti rintangan ubat, penyebaran nyamuk, dan kekurangan pembiayaan.


Inovasi yang disokong WHO semakin banyak dimasukkan ke dalam sistem kesihatan rutin.

Sejak vaksin malaria pertama diluluskan pada 2021, sebanyak 24 negara memasukkannya ke dalam program imunisasi nasional, menurut penemuan yang dikeluarkan dalam Laporan Tahunan Malaria.

Kemopencegahan malaria bermusim juga berkembang sehingga meliputi 54 juta kanak-kanak pada 2024, meningkat daripada sekitar 0.2 juta pada 2012.

Kemajuan ke arah pembasmian malaria terus dicapai, dengan 47 negara dan satu wilayah disahkan bebas malaria setakat ini.

Cabo Verde dan Mesir menerima pensijilan pada 2024 manakala Georgia, Suriname dan Timor-Leste menyusul pada 2025, menurut laporan itu.

Walaupun terdapat kemajuan, laporan itu menganggarkan 282 juta kes dan 610,000 kematian akibat malaria pada 2024, kira-kira 9.0 juta kes lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Kira-kira 95 peratus kematian berlaku di Rantau Afrika WHO, kebanyakannya melibatkan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

"Alat baharu bagi pencegahan malaria memberi kita harapan baharu, namun kita masih berdepan cabaran besar. Peningkatan jumlah kes dan kematian, ancaman rintangan ubat yang semakin membesar dan kesan daripada pengurangan pembiayaan semuanya mengancam kemajuan yang dicapai sepanjang dua dekad lalu. Namun, tiada satu pun cabaran ini yang mustahil diatasi," kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Laporan itu menekankan rintangan separa terhadap derivatif artemisinin yang disahkan atau disyaki berlaku di sekurang-kurangnya lapan negara Afrika, serta memberi amaran mengenai penurunan keberkesanan ubat.

Ia turut menyebut cabaran termasuk penghapusan gen pfhrp2 yang menjejaskan ujian pantas, rintangan terhadap piretroid di 48 negara, penyebaran nyamuk Anopheles stephensi, kejadian cuaca ekstrem, konflik, dan pembiayaan global yang mendatar pada US$3.9 bilion dalam 2024 - kurang daripada separuh sasaran 2025.

"Laporan Malaria Dunia menunjukkan: rintangan ubat semakin meningkat. Tindak balas kita juga mesti jelas iaitu ubat baharu dengan mekanisme tindakan baharu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Medicines for Malaria Venture Martin Fitchet.

WHO menggesa negara endemik untuk mengekalkan komitmen yang digariskan dalam Deklarasi Yaounde dan mempercepat tindakan di bawah inisiatif Big Push bagi melindungi kemajuan ke arah masa depan bebas malaria.

-- BERNAMA




#Pertubuhan Kesihatan Sedunia #vaksin #malaria #cuaca ekstrem