Dianggarkan kira-kira sejuta spesis tumbuhan dan haiwan menghadapi ancaman kepupusan, sekiranya manusia tidak bertindak sekarang.

Ancaman kepupusan kini berlaku pada kadar paling pantas dalam sejarah, mencecah ratusan kali ganda berbanding kadar yang dicatat pada abad sebelum ini.

Selain itu, lebih 500,000 spesis tidak mempunyai habitat yang mencukupi untuk kemandirian dalam jangka masa panjang.

Ini berpunca daripada aktiviti manusia yang sekaligus turut mengancam kebajikan dan keselamatan manusia di seluruh dunia.

Ini pendedahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan ‘Global Assessment Report on Biodiversity and Ecosystem Services’ yang dikeluarkan pada Isnin di Paris.

“Ekosistem, spesis, populasi liar, kepelbagaian spesis tumbuhan dan haiwan tempatan semuanya semakin pupus.

“Kitaran kehidupan bumi yang saling berhubung dan amat diperlukan kini semakin mengecil,” kata Profesor Settele, yang mewakili Jerman dalam forum bagi membincangkan laporan tersebut.

Antara penemuan lain, tiga suku daripada persekitaran tanah dan dalam 66 peratus persekitaran marin telah melalui perubahan akibat aktiviti manusia.

Tambahan pula, lebih satu pertiga daripada permukaan tanah dan hampir 75 peratus sumber air tawar digunakan khusus untuk pengeluaran tanaman atau ternakan.

Kehilangan ekosistem dan biodiversiti kebanyakannya berlaku di kawasan tropika, seperti Asia Tenggara, yang telah kehilangan kira-kira 7.5 juta hektar tanah hutan, dengan 80 peratus daripadanya digunakan untuk pengeluaran minyak sawit.

Selain itu, pencemaran plastik turut menjadi salah satu punca utama berlakunya kemerosotan alam sekitar.

Pencemaran plastik telah meningkat sebanyak 10 kali ganda sejak 1980 manakala 300 hingga 400 juta tan bahan logam berat, pelarut, bahan toksik dan bahan buangan lain dari kawasan perindustrian dibuang ke laut.

Namun, panel terbabit turut menjelaskan bahawa manusia masih berpeluang untuk mengubah masa depan demi generasi yang akan datang.

“Walaupun kepelbagaian spesis serta banyak sumbangan alam sekitar yang penting semakin pupus, namun kita masih ada cara untuk menjaminkan masa depan yang mampan untuk manusia serta bumi ini,” kata Profesor Sandra Diaz, salah seorang panel forum itu yang mewakili Argentina.