DUNIA

AS sekali lagi tahan kapal tangki minyak berhampiran Venezuela

Astro Awani 21/12/2025 | 07:45 MYT
Helikopter milik AS menghampiri kapal Centuries di perairan antarabangsa berhampiran Venezuela buat kali kedua pada Sabtu. -Foto Reuters
WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dilapor menahan kapal tangki di perairan antarabangsa berhampiran Venezuela buat kali kedua pada Sabtu.

Menurut Reuters, tindakan itu dibuat sehari selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan sekatan ke atas semua kapal tangki minyak yang masuk dan keluar dari Venezuela.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem, mengesahkan operasi itu melalui hantaran video di X yang memaparkan helikopter milik AS menghampiri sebuah kapal bertulis Centuries.

Pada masa sama, Kristi menegaskan Amerika Syarikat akan terus membanteras pergerakan haram minyak yang dikenakan sekatan dan didakwa digunakan untuk membiayai keganasan berkaitan dadah di rantau itu.

"Kami akan menjejaki anda, dan menghentikan anda (Venezuela)," katanya melalui hantaran di X hari ini.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Menurut syarikat pengurusan risiko maritim British, Vanguard, kapal berkenaan dipercayai kapal Centuries yang berdaftar di Panama, ditahan di perairan timur Barbados, Laut Caribbean.

Reuters turut mengesahkan kapal itu sebagai Centuries berdasarkan reka bentuk kapal, struktur atas dek, tiang dan cerobong yang sepadan dengan imej fail, namun tarikh dan lokasi rakaman belum dapat disahkan.

Namun, data pengesanan kapal menunjukkan lokasi terakhir kapal itu sekitar 60 kilometer ke utara Curaçao pada 19 Disember.

Pada 11 Disember, sebuah kapal tangki minyak ditahan ketika dipercayai dalam perjalanan ke Cuba, membawa minyak milik syarikat negara Cubametales untuk pasaran Asia.

Kerajaan Venezuela menyifatkan tindakan Amerika Syarikat ini sebagai “aksi lanun di perairan antarabangsa yang serius”.

Namun, Syarikat Minyak Negara Venezuela (PDVSA) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.





#Amerika Syarikat #Venezuela #Donald Trump #kapal tangki minyak #Centuries