Sekatan baharu ke atas Rusia ditangguh sehingga pertemuan Trump-Putin - Laporan

Pada minggu lepas, Presiden Trump (kanan) berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan Presiden Putin di Budapest, Hungary walaupun beliau tidak memberikan tarikh yang tepat. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Rang undang-undang yang mengenakan sekatan baharu ke atas Moscow dan rakan dagangnya ditangguhkan sehingga selepas pertemuan yang dijangka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, kata Ketua Majoriti Senat AS, John Thune pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Saya rasa mereka berpendapat untuk melihat dahulu bagaimana pertemuan dengan Putin itu berlangsung dalam beberapa minggu lagi," kata Thune sambil menambah bahawa beliau berhubung dengan Senator Lindsey Graham, yang sedang bekerjasama dengan White House untuk menerajui inisiatif sekatan itu, menurut Politico.
"Saya rasa sekurang-kurangnya buat masa ini (Graham) sedang bekerjasama dengan White House untuk menentukan sama ada pertemuan yang dijangka berlangsung dalam beberapa minggu lagi itu akan membawa hasil atau tidak," tambahnya.
Sumber kedua yang enggan dinamakan kerana membincangkan perbincangan tertutup mengesahkan bahawa rang undang-undang sekatan itu pada dasarnya tertangguh sehingga selepas pertemuan Trump-Putin yang dijangka diadakan.Trump berkata minggu lepas, satu pertemuan akan diadakan di Budapest, Hungary walaupun beliau tidak memberikan tarikh yang tepat.
Rang undang-undang sekatan itu mempunyai lebih 80 "penaja bersama", menunjukkan ia mempunyai sokongan mencukupi untuk mengatasi sebarang tentangan daripada Trump.
Bagaimanapun, Republikan dilihat berhati-hati untuk meneruskannya tanpa kelulusan jelas daripada presiden.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami