INTERNATIONAL
Sekatan Israel "memusnahkan" kanak-kanak Gaza - Agensi Pelarian PBB
Sekatan yang dikenakan Israel sejak lebih lebih lima minggu menggantung kemasukan bantuan dan bekalan komersial ke Gaza. - AP
ANKARA: Sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan telah memberi "kesan yang memusnahkan" terhadap kanak-kanak di Semenanjung Gaza yang dilanda konflik, menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.
UNRWA dalam satu kenyataan berkata sekatan yang dikenakan Israel sejak lebih lebih lima minggu menggantung kemasukan bantuan dan bekalan komersial ke Gaza.
"Air bersih, makanan, tempat perlindungan dan rawatan perubatan semakin sukar diperoleh.Kesan terhadap kanak-kanak amat dahsyat," menurut agensi itu.
Sejak 2 Mac, Israel menutup lintasan sempadan Gaza dan menyekat kemasukan bekalan penting termasuk makanan, air dan ubat-ubatan, memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah merosot di wilayah itu.
"Di utara Gaza, kanak-kanak tidak mencari mainan atau pensel mereka, tetapi air," kata UNRWA. "Mereka tidak pergi ke sekolah, tetapi menolak kereta sorong untuk mendapatkan sesuatu bagi menghilangkan dahaga mereka."
Pada Sabtu lepas, tentera Israel menghentikan bekalan air dari syarikat Israel Mekorot ke Gaza, menyebabkan 70 peratus bekalan air di wilayah itu terputus sepenuhnya.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac dan sejak itu membunuh hampir 1,500 mangsa, mencederakan 3,700 yang lain serta melanggar gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan di wilayah itu yang ditandatangani pada Januari.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu minggu lalu berikrar untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza ketika usaha sedang dijalankan untuk melaksanakan rancangan Presiden AS Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin dari wilayah itu.
Lebih 50,800 rakyat Palestin terbunuh di Semenanjung Gaza dalam serangan kejam Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana perangnya ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA