DUNIA

Sekatan Syria: Arab Saudi harap negara lain ikut jejak langkah AS

Luqman Hariz 14/05/2025 | 12:15 MYT
Menteri Luar Arab Saudi, Faisal Farhan Al-Saud berkata, pengumuman tersebut dijangka memainkan peranan besar dalam mengubah sentimen dunia luar terhadap Syria, yang melalui perubahan kepimpinan kurang dua bulan lalu. - Foto REUTERS/Hamad I Mohammed
RIYADH: Arab Saudi berharap negara lain, khasnya di blok barat, akan mengikuti jejak langkah Amerika Syarikat (AS) dan menghapuskan semua sekatan ekonomi terhadap Syria.


Ringkasan AI
  • Amerika Syarikat telah menghapuskan semua sekatan ekonomi terhadap Syria buat pertama kali dalam masa 10 tahun.
  • Arab Saudi berharap negara-negara Barat lain seperti EU dan UK akan ikut langkah ini demi membantu pemulihan Syria.
  • Keputusan ini dibuat selepas perbincangan antara Presiden Donald Trump, Putera Mahkota Arab Saudi, dan Presiden Turkiye.


Perkara itu diumumkan Presiden AS, Donald Trump dalam ucapannya di Forum Pelaburan AS-Arab Saudi pada Selasa.

Ia merupakan kali pertama AS tidak mempunyai sebarang sekatan ekonomi terhadap Syria dalam masa sedekad.

Menteri Luar Arab Saudi, Faisal Farhan Al-Saud berkata, pengumuman tersebut dijangka memainkan peranan besar dalam mengubah sentimen dunia luar terhadap Syria, yang melalui perubahan kepimpinan kurang dua bulan lalu.

“Kami berharap negara lain yang masih mempunyai sekatan (terhadap Syria) akan mengambil isyarat (dari Trump) dan meningkatkan usaha mereka.

“Saya tahu Kesatuan Eropah (EU) sedang dalam perbincangan untuk memutuskan apa yang perlu dilakukan dan saya percaya langkah AS ini akan menggalakkan EU untuk mempertimbangkan pemansuhan sekatan.

“United Kingdom juga telah menarik balik sekatan ekonomi mereka, dan kami menghargai keputusan mereka,” katanya.

Trump sebelum ini berkata, beliau mengambil keputusan tersebut selepas berbincang bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed Bin Salman dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Katanya, langkah itu penting bagi menjayakan pembinaan semula Syria, dan membantu rakyat negara itu pulih daripada konflik yang berlarutan selama lebih sedekad.




#Amerika Syarikat #Arab Saudi #Syria #Donald Trump