[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Sekolah 'sorok' kes guru cabul 20 murid selama lebih 3 tahun

Sinar Harian 29/04/2025 | 01:50 MYT
Seorang mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia pernah diseret ke bilik mandi dan dicabul oleh guru tersebut semasa aktiviti berenang. - Gambar hiasan
JAWA TENGAH: Seorang guru sekolah rendah (SD) di sini ditahan polis selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap sekurang-kurangnya 20 muridnya, dengan insiden itu didakwa sengaja ditutup pihak sekolah selama lebih tiga tahun.
Menurut laporan media tempatan, kes tersebut terbongkar selepas seorang murid tahun dua SD memberitahu ibu bapanya bahawa dia menjadi mangsa cabul oleh guru berkenaan, dikenali sebagai DI, 37.
Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis, mendorong enam lagi ibu bapa tampil mengadu anak mereka turut menjadi mangsa. Pihak sekolah sebelum ini didakwa menyedari perkara itu tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya.
Peguam keluarga mangsa, Lanang Kujang Pananjung, mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 20 murid menjadi mangsa, dengan beberapa kes berlaku di luar sekolah, termasuk di kolam renang semasa aktiviti luar.
"Awalnya hanya satu keluarga yang melapor, tetapi kemudian semakin ramai yang tampil dengan cerita serupa. Kami ada rekod sekitar 20 mangsa," katanya.
Seorang mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia pernah diseret ke bilik mandi dan dicabul oleh guru tersebut semasa aktiviti berenang.
Susulan tekanan ibu bapa, pihak sekolah memecat DI, manakala polis menahannya awal April lalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Sukoharjo, AKP Anggaito Hadi Prabowo, mengesahkan penahanan itu dan berkata, siasatan masih dijalankan.
"Suspek sudah kami tahan. Kami akan pastikan keadilan ditegakkan," tegasnya.
Kes ini menimbulkan persoalan berkenaan pengawasan pihak sekolah terhadap keselamatan murid, dengan desakan agar tindakan lebih proaktif diambil untuk melindungi kanak-kanak.- Sinar Harian memetik agensi
#guru #cabul murid #sekolah rendah #kes ditutup