DUNIA

Sektor kereta api Vietnam alami kerugian AS$1.9 juta akibat banjir terburuk

Bernama 02/12/2025 | 09:57 MYT
Impak cuaca buruk di Vietnam mencetuskan kemusnahan yang besar, dari kemusnahan kediaman, bangunan perniagaan, pengangkutan, hinggalah jaringan infrastruktur yang terputus akibat diterjang banjir. - AP
NHA TRANG (Vietnam): Sektor kereta api Vietnam mengalami kerosakan infrastruktur dari Stesen Dieu Tri di Wilayah Gia Lai hingga Stesen Nha Trang di Wilayah Khanh Hoa, dengan kerugian mencecah puluhan bilion dong susulan banjir terburuk yang melanda wilayah Selatan Tengah.

Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan bahawa anggaran awal kerugian ialah VND50 bilion (AS$1.9 juta).

Menurut laporan Vietnam Railways, banjir itu menyebabkan kesesakan laluan kereta api dari 17 hingga 25 November.

Sebanyak 105 tren penumpang dan 65 tren kargo digantung operasinya akibat banjir berkenaan.

Sepanjang tempoh penggantungan operasi kereta api, lebih 35,000 set makanan percuma merangkumi hidangan utama dan sampingan disediakan kepada penumpang tren yang terjejas.

Selain itu, sektor berkenaan turut memulangkan bayaran bagi 39,000 tiket, bersamaan VND24 bilion (AS$914,000).

Walaupun laluan kereta api Utara-Selatan telah dibaiki sejak 25 November (selepas lapan hari kesesakan), masih terdapat banyak kawasan yang memerlukan tren bergerak perlahan.

Bagi memastikan keselamatan perjalanan dan menyesuaikan operasi dengan keadaan semasa, sektor kereta api terpaksa melaraskan jadual tren penumpang.

-- BERNAMA




#kereta api vietnam #kerosakan infrastruktur #banjir #Gangguan Perkhidmatan