DUNIA
Sektor swasta, individu giat menyumbang bagi memenuhi kekurangan AS$200 juta dana - UNRWA

Boucly berkata sejak agensi itu hilang punca dana daripada AS dan Sweden, sektor swasta dan individu persendirian telah banyak menyumbang kepada UNRWA. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa- Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) hanya boleh terus beroperasi sehingga Ogos sekiranya tidak dapat mengisi kekurangan dana bernilai AS$200 juta.
Ringkasan AI
- Agensi hanya mampu beroperasi hingga Ogos 2025 jika tidak memperoleh tambahan dana sebanyak USD200 juta, walaupun sumbangan sektor swasta dan individu meningkat kepada AS$282 juta.
- Kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan, bekalan ubat kehabisan stok, dan bantuan kemanusiaan disekat sejak Mac 2025. Lebih 875 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan.
- Rancangan pemindahan paksa rakyat Palestin ke Rafah disifatkan sebagai penciptaan kem tahanan besar-besaran, manakala perobohan di Tebing Barat terus menyebabkan kehilangan tempat tinggal.
“Pada 2024, kami mencapai rekod sumbangan bernilai USD282 juta daripada sektor swasta dan individu persendirian. Pun begitu, jumlah ini masih belum mencukupi. Bajet tahunan kami ialah AS$880 juta dan kami masih belum cukup AS$200 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Boucly, agensi itu juga mengambil pendekatan berhubung dengan negara-negara yang belum pernah menyumbang kepada UNRWA bagi mendapatkan dana tambahan.
Tegasnya, pengurusan dana yang diterima oleh UNRWA adalah berbeza dengan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain.
Menurut Boucly, hampir keseluruhan dana yang diterima oleh agensi itu disalurkan terus kepada penerima manfaat, bukan untuk membayar operasi pejabat UNRWA di luar lapangan.
“Kami ada 33,000 kakitangan warga Palestin, hanya 200 orang sahaja kakitangan antarabangsa. Kakitangan warga Palestin ini memberikan perkhidmatan asas kepada pelarian Palestin sendiri di lapangan,” ujarnya.
Pada pertengahan Julai 2025, UNRWA telah memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, dengan satu daripada setiap sepuluh kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.
Selain itu, beberapa kes kekurangan zat makanan akut yang teruk telah menyebabkan kematian dalam kalangan kanak-kanak. Keadaan ini bertambah buruk akibat sekatan bantuan kemanusiaan, termasuk susu formula bayi, daripada memasuki Gaza selama lebih empat bulan.
Menurut UNRWA dan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 875 orang telah terkorban dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika cuba mendapatkan makanan. Kebanyakan kematian berlaku berhampiran pusat pengagihan bantuan swasta yang tidak diselaraskan dengan PBB.
Mangsa yang terselamat, termasuk kanak-kanak, melaporkan bahawa mereka telah ditembak ketika cuba mendapatkan makanan, menggambarkan betapa bahayanya keadaan yang dihadapi oleh orang awam.
Perkhidmatan kesihatan UNRWA juga kritikal apabila lebih separuh daripada bekalan perubatan agensi itu kini telah kehabisan stok, dan tiada bantuan kemanusiaan, termasuk ubat-ubatan penting, telah memasuki Gaza sejak awal Mac 2025.
Selain krisis kemanusiaan, UNRWA turut mengecam rancangan Israel untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin di Gaza ke Rafah, memberi amaran bahawa tindakan sedemikian pada hakikatnya adalah mewujudkan kem tahanan besar-besaran.
Sementara itu, di Tebing Barat, kerja-kerja perobohan telah disambung semula di kawasan seperti Kem Tulkarm, menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami