Sekurang-kurangnya 11 terbunuh dalam insiden tanah runtuh di Papua New Guinea

Tanah runtuh melanda kampung Kukas, lebih 550 kilometer di barat laut ibu negara Port Moresby, sekitar 2 pagi waktu tempatan pada Jumaat. - Google Map
MELBOURNE: Sekurang-kurangnya 11 mayat ditemukan selepas kejadian tanah runtuh melanda sebuah kampung di wilayah Enga, Papua New Guinea (PNG) awal pagi Jumaat, lapor Xinhua.
Akhbar tempatan Post Courier melaporkan tanah runtuh melanda kampung Kukas, lebih 550 kilometer di barat laut ibu negara Port Moresby, sekitar 2 pagi waktu tempatan pada Jumaat.
Tiga rumah tertimbus, manakala lebih 20 penduduk dilaporkan hilang.
Menurut stesen penyiaran Australian Broadcasting Corporation (ABC), Gabenor wilayah Enga, Peter Ipatas berkata pasukan bencana kerajaan tempatan dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu usaha mencari dan menyelamat serta memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terselamat.
Kampung Kukas terletak di daerah Wapenamanda dalam wilayah Enga, kira-kira 64 kilometer ke tenggara kawasan Mulitaka, lokasi tragedi tanah runtuh mega pada Mei 2024 yang meragut ratusan nyawa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


