Sekurang-kurangnya 227 diculik dari sebuah sekolah di tengah Nigeria

Sekurang-kurangnya 215 pelajar dan 12 guru diculik pada awal Jumaat selepas sebuah sekolah di negeri Niger, tengah Nigeria disyaki diserang sekumpulan pengganas. - Foto AP
ABUJA: Sekurang-kurangnya 215 pelajar dan 12 guru diculik pada awal Jumaat selepas sebuah sekolah di negeri Niger, tengah Nigeria disyaki diserang sekumpulan pengganas, menurut Persatuan Kristian Nigeria (CAN), lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 215 pelajar dan 12 guru diculik dari Sekolah St. Mary di Niger, Nigeria, oleh kumpulan pengganas pada Jumaat lepas, dan mereka kini dijadikan tebusan.
- Insiden penculikan ini berlaku walaupun laporan risikan awal menunjukkan ancaman keselamatan tinggi, menyebabkan penangguhan aktiviti pembinaan dan penutupan sementara semua sekolah berasrama penuh di kawasan yang terjejas.
- Serangan ini merupakan insiden kedua seumpamanya minggu ini di Afrika Barat, setelah 25 pelajar perempuan dari sebuah sekolah di negeri Kebbi turut diculik, menyebabkan kerajaan Nigeria mengarahkan penutupan 41 sekolah menengah persekutuan di seluruh negara.
Setiausaha Kerajaan Negeri Niger, Abubakar Usman mengesahkan kejadian itu tanpa memberikan jumlah mangsa yang tepat, sambil menyatakan bahawa insiden itu berlaku walaupun terdapat laporan risikan awal yang menunjukkan ancaman keselamatan tinggi di beberapa bahagian negeri berkenaan.
Beliau seterusnya berkata bahawa kerajaan, berdasarkan amaran tersebut, telah mengarahkan penggantungan semua aktiviti pembinaan dan penutupan sementara semua sekolah berasrama penuh di kawasan yang terjejas.
Namun, Sekolah St. Mary telah dibuka semula dan meneruskan aktiviti akademik tanpa memaklumkan atau mendapatkan kebenaran pihak berkuasa, "sekali gus mendedahkan pelajar dan kakitangan kepada bahaya".
Agensi keselamatan tempatan telah melancarkan siasatan menyeluruh serta operasi mencari dan menyelamat bagi memastikan keselamatan para pelajar.
Serangan di negeri Niger itu merupakan insiden kedua seumpamanya minggu ini di negara Afrika Barat berkenaan, selepas sekurang-kurangnya 25 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah kerajaan di negeri Kebbi utara negara itu diculik pada Isnin.
Sementara itu, kerajaan Nigeria telah mengarahkan penutupan sekurang-kurangnya 41 sekolah menengah milik kerajaan persekutuan di seluruh negara susulan kejadian penculikan pelajar oleh kumpulan pengganas baru-baru ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


