DUNIA

Sekurang-kurangnya 15 negeri AS, Washington DC isytihar darurat menjelang ribut musim sejuk

Bernama 24/01/2026 | 09:42 MYT
Ribut ini akan menyebabkan pengumpulan ais yang signifikan hingga berpotensi membawa bencana , dengan risiko gangguan bekalan elektrik dalam tempoh lama. - AP
WASHINGTON: Jutaan penduduk di Amerika Syarikat (AS) menghadapi keadaan darurat pada Jumaat ketika sebahagian besar negara itu bersiap sedia menghadapi ribut musim sejuk terbesar pada hujung minggu ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kesan ribut yang berpotensi melakar sejarah itu dijangka dirasai dari barat daya hingga timur laut, bermula Sabtu.

Setakat ini, darurat telah diisytiharkan di Alabama, Arkansas, Georgia, Kansas, Kentucky, Louisiana, Maryland, Mississippi, Missouri, New York, Carolina Utara, Carolina Selatan, Tennessee, Texas, Virginia dan ibu negara Washington DC.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menyatakan salji lebat dijangka melanda dari Oklahoma di Midwest hingga selatan Maine di Timur Laut. "Hujan sejuk beku dan slit yang meluas" turut dijangka berlaku di seluruh wilayah Selatan dan Tenggara negara itu.

"Ribut ini akan menyebabkan pengumpulan ais yang signifikan hingga berpotensi membawa bencana , dengan risiko gangguan bekalan elektrik dalam tempoh lama, kerosakan pokok yang meluas serta keadaan perjalanan yang sangat berbahaya atau tidak dapat dilalui," menurut NWS di platform X.

Stesen penyiaran ABC melaporkan lebih 2,000 penerbangan pada Sabtu di dalam, ke atau keluar negara itu telah dibatalkan susulan ribut yang bakal melanda.

Di Washington DC, Datuk Bandar Muriel Bowser memberi amaran bahawa ibu negara itu dijangka dilanda ribut musim sejuk terbesar dalam sedekad, dengan pengisytiharan darurat beliau dijadual bermula pada tengah hari Sabtu dan kekal berkuat kuasa sehingga Selasa.

Sekurang-kurangnya 23 sentimeter (cm) salji dijangka turun di Washington DC dengan beberapa model ramalan menunjukkan lebih 30 cm. Pengumpulan salji dijangka bermula Sabtu malam dan berterusan hingga Ahad ketika suhu menjunam.

Presiden AS Donald Trump memberi amaran bahawa "gelombang sejuk terburuk pernah direkodkan" dijangka melanda puluhan negeri AS.

-- BERNAMA

#ribut salji #Amerika Syarikat #gangguan bekalan elektrik #cuaca ekstrem #darurat