DUNIA

Sekurang-kurangnya 22 maut dalam letupan pasar raya di Mexico

Bernama 02/11/2025 | 07:30 MYT
Siasatan awal menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada asap akibat kerosakan transformer. - Gambar/ X @Azteca
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 22 orang maut selepas satu letupan mencetuskan kebakaran di sebuah gedung serbaneka di Hermosillo, ibu negeri Sonora di utara Mexico, lapor Xinhua yang memetik media tempatan pada Sabtu.

Menurut laporan itu, letupan berlaku pada waktu petang di sebuah rangkaian gedung serbaneka di pusat bandar. Saksi berkata api merebak dengan cepat ke seluruh bangunan dan kenderaan berdekatan, menyebabkan beberapa individu terperangkap di dalamnya.

Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta membawa mangsa yang cedera ke hospital berhampiran.

Siasatan awal menunjukkan kebakaran mungkin berpunca daripada asap akibat kerosakan transformer.

Pihak berkuasa di Sonora berkata kemungkinan serangan pengganas dalam insiden itu telah diketepikan.

-- BERNAMA




#kebakaran pasar raya #Mexico #angka korban