DUNIA

Sekurang-kurangnya 25 maut selepas ribut landa AS

Astro Awani 18/05/2025 | 00:50 MYT
Seorang sukarelawan melihat kepada kemusbahan akibat ribut yang melanda Laurel County, Kentucky pada Sabtu. - Foto REUTERS
KENTUCKY: Sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas beberapa ribut kuat melanda kawasan barat Amerika Syarikat (AS), menyebabkan kemusnahan besar di Missouri, Kentucky, Illinois, dan Indiana.

Di St. Louis, Missouri, ribut merosakkan lebih 5,000 bangunan, menumbangkan pokok, dan tiang elektrik.

Lima kematian telah disahkan di kawasan itu, dengan 100,000 kediaman terputus bekalan elektrik.

Di Kentucky, ribut yang melanda Laurel County menyebabkan 18 kematian, termasuk seorang anggota bomba.

Pulaski County turut mengalami kemusnahan besar, dengan rumah-rumah musnah sepenuhnya.

Pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan yang terjejas, dengan pasukan penyelamat masih mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan.

Datuk Bandar St. Louis, Cara Spencer, menyatakan bahawa bandar itu sedang berkabung atas kehilangan nyawa dan kemusnahan yang dahsyat.

Di Kentucky, pihak berkuasa menggesa penduduk untuk berdoa dan memberi bantuan kepada mangsa selepas ribuan rumah musnah akibat ribut.

Ribut yang melanda AS telah menyebabkan kematian dan kemusnahan besar, dengan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pihak berkuasa kini sedang berusaha untuk memulihkan kawasan yang terjejas dan membantu mangsa yang terselamat.






#ribut #darurat #runtuhan bangunan #terputus bekalan elektrik