[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Sekurang-kurangnya 60 mangsa dikhuatiri mati lemas di perairan Libya

Astro Awani 18/06/2025 | 00:50 MYT
Menurut IOM, lebih 743 orang telah terkorban sepanjang tahun ini ketika cuba menyeberangi Mediterranean, termasuk 538 orang di laluan tengah yang menghubungkan Libya ke Itali. - Foto fail/REUTERS
TRIPOLI: Sekurang-kurangnya 60 pelarian dan pendatang dikhuatiri maut selepas dua kejadian kapal karam berlaku di luar pesisir pantai Libya, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).

Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 60 pelarian dan pendatang dikhuatiri maut dalam dua kejadian kapal karam berhampiran pesisir Libya, ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean.
  • Laluan tersebut dikenal pasti sebagai paling berbahaya di dunia, dengan lebih 743 kematian direkodkan tahun ini menurut IOM.
  • Kekurangan operasi menyelamat dan sekatan terhadap NGO dikritik, sementara IOM menyeru tindakan global segera untuk selamatkan nyawa.

Insiden tragis ini berlaku ketika mereka cuba menyeberangi Laut Mediterranean menuju ke Eropah melalui laluan paling berbahaya di dunia.
Kejadian pertama berlaku pada 12 Jun berhampiran pelabuhan Alshab di Tripolitania, di mana hanya lima mangsa berjaya diselamatkan dan 21 lagi dilaporkan hilang.
Antara yang dikhuatiri maut termasuk enam warga Eritrea (tiga wanita dan tiga kanak-kanak), lima warga Pakistan, empat warga Mesir dan dua lelaki Sudan. Identiti empat mangsa lain masih belum dikenal pasti.
Kejadian kedua pula berlaku pada 13 Jun, kira-kira 35 kilometer dari barat Tobruk.
Seorang mangsa terselamat yang diselamatkan oleh nelayan tempatan memaklumkan bahawa 39 orang hilang dalam tragedi itu.
Beberapa mayat telah ditemui terdampar di pantai Umm Aqiqih dan Elramla dalam hari-hari berikutnya.
Menurut IOM, lebih 743 orang telah terkorban sepanjang tahun ini ketika cuba menyeberangi Mediterranean, termasuk 538 orang di laluan tengah yang menghubungkan Libya ke Itali - menjadikannya laluan migrasi paling berbahaya di dunia.
Kumpulan hak asasi manusia dan agensi bantuan mengkritik kekurangan operasi mencari dan menyelamat yang dikendalikan negara, serta tindakan sesetengah kerajaan yang menyekat NGO daripada beroperasi di kawasan tersebut.
Ramai pelarian kini terperangkap di Libya dalam keadaan tahanan yang digambarkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
IOM menyeru komuniti antarabangsa untuk meningkatkan usaha menyelamat dan menyediakan laluan pendaratan yang selamat dan teratur bagi mangsa yang terselamat.
“Kos kegagalan bertindak diukur dalam nyawa manusia,” kata Pengarah Serantau IOM, Othman Belbeisi.
#kapal karam #pendatang #laut mediterranean #lemas